Rompin: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta penyokong parti dan calon tidak berkumpul beramai-ramai pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, Rabu ini.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pada hari penamaan calon, hanya 100 orang bagi setiap wakil calon dibenarkan masuk ke kawasan dewan manakala pemegang pas yang dikeluarkan oleh SPR perlu berada di khemah yang disediakan.

Dalam kenyataan, di sini, hari ini, beliau berkata penyokong parti serta calon dilarang menggunakan pembesar suara dan perlu menunggu dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Beliau berkata, mereka yang melanggar peraturan itu boleh dihukum penjara maksimun satu tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-dua sekali di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Abdul Ghani turut meminta calon bertanding supaya membayar deposit pilihan raya berjumlah RM10,000 secara tunai atau menggunakan bank deraf dan pembayaran boleh dibuat sebelum penamaan calon dengan membawa resit sebagai bukti pembayaran.

Beliau turut mengingkatkan calon yang bertanding supaya membawa surat kebenaran daripada pegawai kanan parti masing-masing untuk menggunakan simbol parti yang berdaftar dengan SPR.

PRK Parlimen Rompin akan berlangsung 5 Mei ini dan ia diadakan berikutan penyandang kerusi kawasan berkenaan, Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.

Abdul Ghani berkata, enam pasukan penguat kuasa SPR ditubuhkan bagi memantau kempen pilihan raya kecil itu bermula selepas pengisytiharan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada hari penamaan calon sehingga kempen berakhir pada tengah malam, 4 Mei ini.

Beliau meminta pengundi berdaftar menyemak maklumat seperti pusat mengundi, nombor siri dan saluran bagi memudahkan proses pengundian pada 5 Mei ini berjalan lancar.

Mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88927000 atau Pejabat SPR Pahang (09-5165025) atau laman web www.spr.gov.my dengan memasukkan nombor MyKad dan sms (SPR no MyKad dan hantar ke 15888.

Katanya, dakwat pilihan raya juga akan digunakan kali ini bagi mengelakkan pengundian dua kali.

“Setiap pengundi perlu mencelup sendiri jari mereka dalam dakwat bukannya dicalit (seperti pada pilihan raya umum lalu),” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 9:23 PM