Reuters

Barcelona: Lionel Messi meledak gol peribadi ke-400 buat pendahulu La Liga Barcelona sekali gus memastikan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Valencia manakala Real Madrid terus mengejar menerusi kemenangan 3-1 ke atas Malaga.

Barca mengumpul 78 mata, dua mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Real sambil berbaki enam perlawanan musim ini.

Penyerang Uruguay Luis Suarez terus membuktikan kemampuannya menerusi rembatan rendah di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Messi ketika permainan baru bermula.

Jaringan Suarez terhasil selepas pertengahan minggu lalu dia meledak dua gol ketika membantu Barca menang 3-1 ke atas Paris St Germain di suku akhir pertama Liga Juara-Juara.

Valencia terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-10 apabila penalti yang diambil Dani Parejo diselamatkan Claudio Bravo.

Rembatan Paco Alcacer terkena tiang dan ketika Barca memperlahankan permainan di babak kedua, cubaan Messi sekadar singgah di palang sebelum bintang Argentina itu menghasilkan gol kedua pasukannya menerusi serangan balas pantas di hujung permainan.

“Inilah masanya anda boleh menyumbang kepada pasukan dengan menyelamatkan keadaan,” kata Bravo.

“Kami menentang pasukan kuat dan ini kali kedua kami terpaksa berhempas pulas selepas mengharungi keadaan serupa di Paris. Ada kalanya, anda perlu melakukan apa saja untuk menang terutama ketika anda tidak mempamerkan aksi terbaik.”

Sementara itu, bintang Real, James Rodriguez menghasilkan gol menerusi rembatan kencang ke penjuru gawang Malaga tetapi kejayaan itu menuntut sesuatu yang lebih besar apabila Gareth Bale dan Luka Modric mengalami kecederaan.

Real mendahului menerusi Sergio Ramos yang menerima hantaran Cristiano Ronaldo pada minit ke-24.

Rodriguez menggandakan kelebihan Real pada minit ke-69 tetapi Malaga merapatkan kedudukan menerusi tandukan Juanmi.

Javier Hernandez membuat hantaran yang mudah disempurnakan Ronaldo pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:56 AM