ADURIZ (kanan) diasak pemain Barcelona Sergio Busquets.
ADURIZ (kanan) diasak pemain Barcelona Sergio Busquets.
Reuters

Barcelona: Athletic Bilbao merangkul trofi pertama dalam tempoh lebih tiga dekad apabila mereka melengkapkan kemenangan agregat 5-1 ke atas Barcelona yang beraksi dengan 10 pemain untuk memenangi Piala Super Sepanyol, awal pagi semalam.

Bilbao yang hanya menampilkan pemain berasal dari wilayah Basque, kali terakhir menang trofi utama apabila mereka menjuarai pertandingan pembuka tirai musim liga sepanyol itu pada 1984 dan kemenangan 4-0 ke atas juara Sepanyol dan Eropah pada perlawanan pertama Jumaat lalu di San Mames menyebabkan Barca sukar bangkit di Nou Camp.

Selepas mengasak lawan bertubi-tubi, Lionel Messi memberikan tuan rumah gol pendahuluan pada perlawanan kedua sebaik sebelum rehat apabila dia mendada hantaran Luis Suarez sebelum merembat voli dari jarak dekat.

Barca menerima tamparan hebat 10 minit babak kedua berlangsung apabila pertahanan tengah Gerard Pique dilayangkan kad merah selepas dia menjerit di depan penolong pengadil kerana membantah satu keputusan.

Insiden itu dilihat memberikan tenaga baru buat Barca dan Pedro Rodriguez serta Ivan Rakitic hampir menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Suarez merembat liar.

Bagaimanapun, benteng tuan rumah bocor 16 minit sebelum tamat apabila Aritz Aduriz, yang meledak hatrik pada perlawanan pertama, berjaya menjaringkan gol menerusi percubaan kedua melepasi Claudio Bravo.

Malah, kad merah lewat permainan buat pemain gantian Kike Sola tidak dapat menyekat kegembiraan Bilbao, sekali gus menguburkan impian Barca mengulangi pencapaian 2009 apabila menang semua enam pertandingan disertai mereka: Liga Juara-Juara, La Liga, Piala Raja Sepanyol, Piala Super Eropah, Piala Super Sepanyol dan Piala Kelab Dunia.

“Jika anda menulis skrip sukar ia menjadi sebegini,” kata Aduriz.

“Bagi kami, ia terlalu bermakna memenangi kejuaraan buat Bilbao, ia satu perkara hebat yang boleh berlaku apatah lagi menentang Barca,” katanya.

“Kami perlu bersaing menentang pasukan bertaraf dunia dan ia satu perkara menakjubkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 10:41 AM