AFP

Madrid: Sevilla bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum seri 2-2 dengan pendahulu Barcelona, sekali gus membuka luas semula perebutan kejuaraan La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Penamat menakjubkan Lionel Messi dan Neymar pada babak pertama menyebabkan Barca dilihat mampu meraih kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan.

Namun, Ever Banega membalas satu gol sebelum rehat babak pertama berikutan kesilapan Claudio Bravo dan persembahan meningkat tuan rumah selepas rehat berbaloi apabila Kevin Gameiro menampan masuk hantaran silang Aleix Vidal tujuh minit sebelum tamat.

“Saya fikir kami bertindak lebih bagus pada babak pertama, kami bermain dengan aksi terpuji, menguasai permainan dan mencetus banyak masalah buat mereka,” kata bos Barca, Luis Enrique.

“Amat memalukan dalam beberapa minit kami gagal mengawal keadaan dan melepaskan gol yang membuka semula permainan.

“Babak kedua lebih sengit, kedua-dua pasukan berpeluang, tapi kami melakukan kesilapan dan dihukum kerananya.”

Kemenangan 3-0 Real Madrid ke atas Eibar pada perlawanan terdahulu bermakna juara Eropah itu kini ketinggalan dua mata di belakang Barca dengan berbaki tujuh perlawanan.

Cristiano Ronaldo meledak gol ke-49 musim ini dengan jaringan pembukaan di Bernabeu sebelum Javier Hernandez dan Jese Rodriguez melengkapkan jaringan.

Atletico Madrid memanaskan badan bagi pertembungan Liga Juara-Juara menentang Real pertengahan minggu ini dengan seri 2-2 di Malaga selepas dua gol Antoine Griezmann dipadamkan oleh gol sendiri Fernando Torres dan Samuel Garcia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:07 AM