Jakarta: Seorang warga Indonesia yang berdepan dengan tuduhan membunuh di Arab Saudi ditangkap ketika hendak dibawa pulang dari Yaman.

Bercakap kepada wartawan di Cikini, Jakarta, semalam, pegawai Kementerian Luar Lalu Muhammad Iqbal berkata, wanita berkenaan yang hanya dinamakannya Nunung melarikan diri ke Yaman selepas diburu pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurutnya, Nunung adalah antara warga Indonesia yang hendak dibawa keluar oleh pihak berkuasa Indonesia dari Yaman baru-baru ini kerana peperangan di negara itu.

“Dia ditangkap ketika diperiksa pihak imigresen Arab Saudi di Jizan selepas dibawa dari Hudaidah. Nunung dikesan menerusi cop jari dan tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

“Kita tidak tahu-menahu statusnya sebelum ini. Kita hanya memberi tumpuan untuk membawa keluar warga Indonesia yang ada di Yaman,” katanya.

Iqbal berkata, apabila pegawai bertanya kepada Nunung mengenai kes yang membabitkannya di Arab Saudi, wanita itu hanya berkata ia membabitkan perbuatan mencuri.

“Kita percaya cakap dia dan yakin ia boleh diselesaikan. Tetapi, sebenarnya, dia terbabit kes lebih teruk. Dalam senarai Arab Saudi, Nunung didakwa membunuh,” kata Iqbal.

Katanya, sehingga ini, pihak berkuasa Indonesia masih berusaha mendapatkan keterangan lebih lanjut berkait dengan kes Nunung yang ketika ini berada dalam tahanan di Arab Saudi.

Sementara itu, ketua badan pengawas Tenaga Kerja Indonesia Nusron Wahid berkata, ada 37 rakyat negara itu yang menanti hukuman mati di luar negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:49 AM