Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perjuangan wakil negara pada saingan Grand Prix (GP) Emas China Masters 2015 berakhir semalam selepas dua beregu negara tewas di saingan separuh akhir.

Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang sebelum ini cemerlang menewaskan lawan mereka, gagal menghalang kemaraan gandingan tuan rumah, Tan Jinhua-Zhong Qianxin apabila tewas 21-23, 9-21.

Keputusan itu pastinya cukup mengecewakan selepas mereka diletakkan selaku pilihan utama pada saingan kali ini.

Gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga gagal menempah tiket ke pentas final hari ini selepas tewas kepada pilihan utama yang juga peserta tuan rumah Liu Cheng-Bao Yixin.

Bagaimanapun, mereka memberikan aksi sengit sebelum tewas 17-21, 21-17, 17-21 dalam saingan yang memakan masa lebih satu jam itu.

“Ini adalah pencapaian terbaik saya sejak menjalani pembedahan kaki. Peng Soon juga mula memahami rentak permainan kami.

“Corak permainan kami berdua lebih matang berbanding sebelum ini. Kami pernah tewas dua kali kepada lawan sama sebelum ini. Apapun saya sudah cuba lakukan yang terbaik. Begitu juga Peng Soon,” kata Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:11 AM