Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berpeluang meraih kejuaraan pertama tahun ini selepas mara ke pentas final Terbuka New Zealand.

Pada aksi separuh akhir semalam, beregu yang menduduki ranking ke-13 dunia itu berhempas pulas sebelum menewaskan pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na 21-19, 10-21, 24-22 pada perlawanan berlangsung satu jam lapan minit itu.

Peng Soon-Liu Ying akan membuat perhitungan dengan beregu bukan pilihan dari China Zheng Siwei-Li Yinhui yang menewaskan satu lagi gandingan Korea Selatan Shin Baek Cheol-Chae Yoo Jung 22-20, 15-21, 21-18.

“Kami baru saja bertemu lawan sama pada saingan Seluruh England dan ketika itu kami tewas.

“Saya rasa memang mampu memberi saingan kepada mereka tapi kami tidak beraksi dengan konsisten ketika itu.

“Pada perlawanan hari ini (semalam), kami lebih fokus untuk tidak memberikan mata mudah kepada lawan.

“Yang penting ialah, kami tidak hilang keyakinan yang menjadi kunci kemenangan,” kata Liu Ying ketika dihubungi semalam.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Zheng Siwei-Li Yinhui pada aksi final hari ini, Liu Ying berkata dia serta Peng Soon enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dalam usaha mereka untuk merangkul kejuaraan pertama tahun ini.

“Kami tak mahu terlalu memikirkan perlawanan itu. Hanya mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, cabaran pemain perseorangan negara Soo Teck Zhi berakhir selepas tewas 18-21, 17-21 kepada wakil China Huang Yuxiang pada aksi separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:02 AM