Pokok tumbang merintangi jalan dan (gambar kanan) sebuah rumah rosak selepas bumbungnya diterbangkan dalam kejadian ribut di sekitar Baling semalam. Foto Ihsan JKM
Pokok tumbang merintangi jalan dan (gambar kanan) sebuah rumah rosak selepas bumbungnya diterbangkan dalam kejadian ribut di sekitar Baling semalam. Foto Ihsan JKM
Safuri Kamarudin


TIGA mukim di Baling dibadai ribut semalam, hingga menyebabkan 27 rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin dan ditimpa pokok.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, sebanyak 19 rumah di Mukim Kupang, lima rumah di Mukim Teloi Kanan serta tiga lagi di Mukim Tawar rosak.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling Shamsul Izrin Isahak berkata, kejadian ribut itu berlaku kira-kira 30 minit.

Menurutnya, antara kampung di Mukim Kupang yang terbabit adalah Kampung Ketemba Luar, Kampung Teluk Perah, Kampung Kuala Cenderai, Kampung Lela, Kampung Lubuk Kabu, Kampung Kuala Kijang, Kampung Kuala Balut, Kampung Keda Sadek, Kampung Ketemba Masjid, Kampung Padang Ketemba, Kampung Belakang Kuala Pegang dan Kampung Charok Kapas.

Katanya, di Mukim Teloi Kanan pula, Kampung Besah dan Kampung Padang Kulim turut dibadai ribut selain Kampung Thye Seng dan Kampung Binjul Dalam di Mukim Tawar.

“Banyak atap rumah diterbangkan angin dan berpuluh pokok tumbang timpa kediaman penduduk serta merintangi jalan.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shamsul Izrin, kakitangan JKM sudah melawat mangsa yang terbabit dan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM300 bersama kit makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:27 PM