ANTARA rumah yang terjejas akibat ribut kuat. FOTO ihsan pembaca.
ANTARA rumah yang terjejas akibat ribut kuat. FOTO ihsan pembaca.
Oleh Naqiukamil Abdullah

Klang: Lima belas rumah di Kampung Telok Gadong, Klang, rosak selepas bumbungnya diterbangkan angin ketika hujan lebat, petang tadi.

Mangsa, Siti Aishah Sebli, 37, berkata, kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu mengakibatkan bumbung rumahnya tercabut sebelum air hujan membasahi kawasan dalam rumah.

Katanya, ketika kejadian beliau bersama cucu saudaranya yang berusia lima bulan di rumah manakala suaminya keluar bekerja.

"Saya bimbangkan keselamatan cucu saudara kerana masih bayi. Ketika angin ribut, saya terkejut apabila mendengar bunyi kuat bumbung rumah diterbangkan sebelum bergegas berlari menyelamatkan diri bersama cucu saudara.

"Walaupun masih terkejut dengan kejadian ini, saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan," katanya ketika ditemui Harian Metro, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:49 PM