HASAN (kiri) meninjau harga barang di pasaraya Tesco bersama Fischer (kanan).
HASAN (kiri) meninjau harga barang di pasaraya Tesco bersama Fischer (kanan).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM50 juta untuk kempen Lebih Jimat yang menawarkan potongan harga murah bagi lebih 1,000 produknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Georg Fischer berkata, menerusi kempen itu pelanggan boleh menikmati diskaun bagi produk harian dan segar dari 20 hingga 44 peratus.

Beliau berkata, promosi terbabit juga boleh didapati di 54 rangkaian Tesco dan Tesco-Pernama Ekspres serta perkhidmatan dalam talian Tesco dan dijalankan sehingga akhir tahun ini.

“Tesco komited memberi harga yang lebih rendah kepada masyarakat walaupun selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Tesco juga berjaya menjadi pemain utama dalam menawarkan harga kompetitif dalam pasaran runcit.

“Kami akan terus melaksanakan kempen yang menarik untuk pelanggan termasuk meluaskan lagi rangkaian Tesco kepada 55 cawangan tahun ini,” katanya di majlis pelancaran kempen Lebih Jimat Tesco oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, semalam.

Fischer berkata, Tesco juga membantu pelanggan berjimat menerusi ganjaran pelanggan setia yang mempunyai Clubcard dengan memberi pulangan tunai melalui baucar pembelian di Tesco dan setakat ini pihaknya telah menyalurkan lebih RM135 juta baucar tunai kepada pelanggan sejak diperkenalkan pada 2007.

Sementara itu, Hasan berkata, kementerian sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bukan saja di pasar raya besar, tetapi juga pasar tani dan rangkaian pasar di kawasan kampung untuk melihat sendiri perkembangan GST.

“Pengguna boleh membuat pilihan untuk berbelanja di kedai yang menawarkan harga lebih murah seperti yang ditawarkan oleh Tesco. Kita bukan mahu membebankan rakyat tetapi menerusi GST ini, wang itu akan digunakan semula untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:17 AM