VIVIAN Yap.
VIVIAN Yap.
Sri Ayu Kartika Amri


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) menyasarkan peningkatan pelaburan penjimatan bagi mata ganjaran Tesco Clubcard dari RM20 juta ke RM25 juta bagi tahun kewangan 2019.

Pengarah Pelanggannya, Vivian Yap berkata, pihaknya komited untuk terus melabur dalam menawarkan mata ganjaran kepada pemegang Tesco Clubcard.

“Setakat Ogos lalu, kami mempunyai 1.2 juta ahli kad Tesco yang aktif berbelanja dan mereka menikmati pelbagai ganjaran ditawarkan bagi setiap promosi yang dijalankan.

“Tesco Malaysia mula memperkenalkan kad keahlian Tesco Clubcard pada 2008 dan pengenalan kad ini adalah cara menghargai pelanggan setia kami,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan akan mendapat mata ganjaran setiap kali mereka berbelanja di Tesco dan mata ganjaran itu boleh ditukarkan kepada baucar tunai.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pelanggan menggunakan beg kitar semula ketika membeli-belah bagi mendapatkan mata ganjaran tambahan.

“Lebih istimewa, kad keahlian Tesco ini tiada tarikh luput dan mata ganjaran boleh ditukarkan kepada baucar tunai, bagaimanapun bagi kad yang tidak aktif selama dua tahun secara automatik akan dikeluarkan daripada sistem.

“Pada 2015, kami juga melancarkan aplikasi mudah alih Tesco Clubcard di mana pelanggan boleh menyemak mata ganjaran mereka melalui telefon,” katanya.

Vivian berkata, bagi memberi lebih manfaat, pihaknya menawarkan diskaun untuk tiket ke lokasi menarik seperti Legoland, Taman Tema A Famosa, Entopia by Penang Butterfly Park dan Kidzania.

Bermula Februari 2019, Tesco melancarkan pendaftaran keahlian percuma secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:08 PM