NATASHA (tengah) melayan pelanggan yang mahu membeli juadah berbuka puasa menerusi konsep menjaja dari kedai ke kedai.
NATASHA (tengah) melayan pelanggan yang mahu membeli juadah berbuka puasa menerusi konsep menjaja dari kedai ke kedai.

Kuantan: “Walau ada yang memandang sinis, saya tidak peduli semua itu kerana yang penting saya mencari rezeki halal untuk menyara keluarga, ” kata ibu tunggal Natasha Halieza Nur Mat Yusof, 36, yang menjaja juadah berbuka di sekitar bandar ini.

Menurut ibu empat anak itu, dia memilih untuk menjaja pelbagai makanan dari kedai ke kedai serta pejabat kerajaan di Kompleks Teruntum di sini, sepanjang Ramadan ini.

Dia yang juga pemilik kios makanan, Notty Nasha Rich (NNR) yang terletak di lobi bangunan sama berkata, tiada apa perlu dimalukan kerana kaedah itu membawa rezeki lebih kepada keluarganya.

Katanya, hal itu kerana dia perlu mencari sumber pendapatan menyara empat anak berusia tujuh hingga 14 tahun selepas berpisah dengan bekas suami, dua tahun lalu.

Selain itu, menurutnya, hasil pendapatan itu digunakan sebagai persediaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ini tahun ketiga saya menjaja di bulan puasa. Ada kalanya letih dan dahaga manakala tangan lenguh mengangkut tiga bakul sekali gus kuih, tetapi saya kuatkan semangat demi anak-anak,” katanya.

Antara kuih dijual ialah talam keladi, talam cendol, talam lapis cendol, talam pelangi, talam Tokyo, seri muka, roti Arab, roti sarang lebah, daging salai dan ikan pekasam yang dijual pada harga antara RM3 dan RM12.

Di kios pula, Natasha menjual makanan sejuk beku seperti karipap, samosa, temosa, kek, roti canai, vade, piza dan pelbagai roti serta kuih-muih pada harga antara RM1.50 hingga RM7.

Selain itu, dia turut menjual pelbagai biskut raya pada harga RM11 hingga RM28 sebalang.

Natasha berkata, dia mula menjaja sekitar jam 3 petang dan juadahnya habis dalam tempoh hanya dua jam kerana sambutan menggalakkan daripada pekerja swasta dan kerajaan.

“Sehingga kini, jualan cukup memberangsangkan dan sentiasa habis kerana pelanggan mengambil peluang membeli dengan saya tanpa perlu bersesak di bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:29 AM