MESSI meraikan jaringan gol.
MESSI meraikan jaringan gol.
AFP

Madrid: Lionel Messi menjadi penyelamat dengan meledak gol lima minit sebelum tamat bagi membantu Barcelona menewaskan Atletico Madrid, 1-0 sekali gus memberikan sedikit kelebihan menjelang aksi suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol.

Atletico dilihat dapat mengakhiri hari ceria kelab itu selepas jutawan China, Wang Jianlin mengesahkan pelaburan 45 juta euro (RM188 juta) untuk pegangan saham 20 peratus apabila perlawanan hampir berkesudahan 0-0.

Bagaimanapun Juanfran dipersalahkan kerana menyepak Sergio Busquets dalam kotak penalti dan Messi lega bertindak pantas menjaringkan gol selepas sepakan penaltinya diselamatkan Jan Oblak.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu sekali lagi di Vicente Calderon, Madrid pada 28 Januari ini.

“Ini keputusan yang baik, tapi kami masih ada aksi timbal balik dan ia pasti 90 minit yang sukar,” kata pemain tengah Barca Andres Iniesta.

“Kami berusaha keras menentang pasukan yang sukar ditewaskan. Kami gembira menang 1-0. Paling penting kami mengekalkan rekod bersih, tapi ia belum menjamin apa-apa.”

Jurulatih Atletico Diego Simeone tetap yakin kehebatan prestasi anak buahnya di laman sendiri akan membantu mereka memenangi pertemuan kedua.

“Kami masih berpeluang menewaskan lawan yang bermain sangat baik. Peluang masih terbuka,” katanya.

Fernando Torres sekali lagi digandingkan dengan Antoine Griezmann di jentera serangan Atletico selepas kombinasi itu membolehkan Torres menjaringkan gol awal setiap babak untuk mengesahkan kemenangan 4-2 ke atas Real Madrid pada pusingan kedua minggu lalu.

Pengadil Jose Luiz Gonzalez menghadiahkan sepakan penalti apabila Busquets dijatuhkan Juanfran pada minit ke-83 dan meskipun sepakan penalti pertama Messi berjaya diselamatkan Oblak, bintang Argentina itu pantas menyambar bola muntah untuk gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 8:12 AM