PEMAIN Pahang ceria bersama trofi dimenangi.
PEMAIN Pahang ceria bersama trofi dimenangi.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuala Lumpur: Pengalaman luas pemain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadi kelebihan buat Pahang untuk muncul juara kejohanan hoki 1MAS Milo B-16 tahun lelaki selepas menewaskan Melaka 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Diperkuat sembilan pemain 1MAS kebangsaan, dua gol Pahang disumbangkan pemain lincah Mohammad Idris Samad dan Mohamad Kamil Mohd Yusof pada babak kedua permainan.

Di separuh akhir pasukan itu menewaskan Johor 3-1.

Pengurus Pahang Wan Mazlan Wan Isa berkata, selepas gagal menyerlah tahun lalu, pemain berazam memburu kejayaan pada kejohanan kali ini dan ternyata janji mereka ditunaikan.

Katanya, walaupun hanya sempat seminggu berehat selepas menyertai Kejohanan Hoki Liga Remaja Kebangsaan, ia bukan penghalang kepada pemain memberikan persembahan terbaik pada saingan hoki 1MAS Milo yang disertai 13 pasukan seluruh negara.

Pahang membariskan pemain Sekolah Sukan Pahang (SSP) SMK Seberang Temerloh yang menjadi pusat pembangunan hoki negeri.

“Saya puas hati terutama selepas beberapa tahun berusaha menyediakan barisan terbaik dan berkualiti menerusi pelbagai program pembangunan secara tersusun.

“Kemudahan padang tiruan di SSP dan kepakaran jurulatih Mohd Sufian Mohamad juga menjadi faktor utama kita mampu memberikan persembahan terbaik untuk muncul juara,” katanya.

Beliau berkata, prestasi kurang menyerlah pada saingan liga remaja kebangsaan dan Piala Milo apabila hanya menduduki tempat keempat menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk memberikan aksi terbaik .

Wan Mazlan berkata, lebih membanggakan tiga pemain Pahang, Mohamad Kamil menerima anugerah pemain terbaik perlawanan akhir, Mohamad Idris (penjaring terbanyak) dan Mohd Izam Azhar (gambar kecil, pemain terbaik kejohanan).

“Selepas membawa cabaran Pahang di peringkat kebangsaan selepas ini, kita akan memikul tanggungjawab untuk pasukan hoki Temerloh pula pada Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) di Kuantan akhir bulan ini.

“Saya harap pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dapat diteruskan pemain di pentas negeri dalam usaha menempah peluang terpilih mewakili Pahang pada saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:04 AM