BARISAN pemain SSP muncul juara Liga Remaja KPM B-17.
BARISAN pemain SSP muncul juara Liga Remaja KPM B-17.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Sekolah Sukan Pahang (SSP) membuktikan kehebatan apabila dinobat sebagai juara bola sepak Liga Remaja Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Perdana bawah 17 tahun, baru-baru ini.

Pada perlawanan terakhir peringkat Liga SSP yang membariskan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh berjaya menjinakkan SSN Wilayah Persekutuan 2-0 di Stadium Mini SMK Seberang Temerloh.

Jurulatih SSP Mohd Faizal Talib berkata, membariskan pemain berkualiti menerusi projek pembangunan selama dua tahun menjadi faktor utama SSP merangkul kejayaan selepas gagal menyerlah musim lalu.

Katanya, pada saingan musim ini SSP berjaya mengumpul 28 mata menerusi 11 kemenangan dan sekali seri bersaing dengan sembilan pasukan, hanya mengalami dua kekalahan kepada SSN Melaka (0-2) dan SSN Wilayah Persekutuan (0-3).

Kesungguhan pemain menebus kekecewaan musim lalu menjadi tonik membolehkan mereka bangkit mencatat kemenangan demi kemenangan hingga dinobat sebagai juara perdana seterusnya layak bersaing dalam kumpulan super musim depan.

“Saya puas hati dengan semangat dan kesungguhan dipamerkan pemain sepanjang saingan liga, mereka seolah-olah begitu dahagakan kejayaan pada setiap perlawanan terutama selepas diaibkan lawan musim lalu.

“Selepas mencatat kejayaan selaku juara perdana musim ini saya akan berusaha melakar episod sama pada saingan juara keseluruhan liga remaja KPM-FAM musim ini yang akan bermula bulan depan,” katanya.

Beliau berkata, SSP akan memulakan saingan suku akhir dengan bertemu SSN Selangor di gelanggang lawan Sabtu ini sebelum melayan kunjungan pasukan itu di Temerloh, 10 Oktober ini.

Bagi Amirul Mohd Nizam yang beraksi di pertahanan berkata, selepas bekerja keras akhirnya kejayaan yang diimpikan muncul musim ini, kecewa musim lalu seolah-olah terpadam apabila dinobat sebagai juara perdana.

“Pengalaman cetek musim lalu menjadi penghalang kepada SSP untuk menyerlah dalam saingan super apabila terpaksa akur turun ke perdana namun ternyata kegagalan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk bangkit,” katanya yang berasal dari Pekan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:36 AM