Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pengalaman luas pemain menjadi kelebihan kepada skuad wanita Majlis Sukan Pahang (MSP) (gambar) untuk mudah membenam pasukan bawah 14 tahun Sekolah Sukan Pahang (SSP) 7-0 pada perlawanan akhir kejohanan Tenaga Nasional Berhad (TNB)-MPK Liga Hoki Pahang di Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan, di sini, baru-baru ini.

Selaku juara, MSP membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama piala pusingan dan naib juara SSP berpuas hati menerima wang tunai RM1,000. Kejohanan itu menyaksikan penyertaan empat pasukan wanita.

Ketua pasukan MSP Noor Shuada Ibrahim berkata, gandingan pemain muda dan senior berjaya membentuk pasukan kuat dan mantap yang begitu berkesan apabila berjaya mencatat semua kemenangan sebelum melangkah ke saingan akhir.

Katanya, sembilan pemain yang membawa cabaran pasukan MSP sebelum ini mewakili Pahang pada beberapa kejohanan peringkat kebangsaan, kelebihan itu digunakan sepenuhnya untuk menjinakkan lawan.

“Gandingan pengalaman dan semangat tinggi pemain di gelanggang sendiri berjaya mencetuskan permainan terbaik sepanjang kejohanan hingga mampu menjulang kejuaraan pertama tahun ini yang begitu membanggakan.

“Kejayaan pada Liga Hoki Pahang 2016 diharap menjadi pencetus kepada misi menjulang lebih banyak kejuaraan peringkat kebangsaan selepas ini,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Pada saingan itu, juara kategori lelaki berpihak kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selepas menewaskan Skybo 4-3 menerusi penentuan penalti.

Selaku juara, pasukan MPK membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala pusingan, naib juara Skybo menerima wang tunai RM2,500 dan tempat ketiga Veteran Pahang meraih wang tunai RM1,300.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Hoki Pahang Zamri Mohamed berkata, selaku penganjur TNB-MPK Liga Hoki Pahang 2016 pihaknya berpuas hati dengan penyertaan 17 pasukan lelaki dan wanita yang dianggap menggalakkan berbanding sebelum ini.

“Saya harap lebih banyak lagi pasukan tempatan dapat bertanding pada kejohanan ini pada masa akan datang terutama pembabitan pasukan dari pusat pengajian tinggi, syarikat swasta dan agensi kerajaan.

“Kami ingin melihat kejohanan ini menjadi lebih meriah pada masa akan datang dalam usaha memilih pemain berbakat mewakili Pahang di peringkat kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:27 AM