Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Sejak mula menemui penonton pada 2011, program realiti Kilauan Emas terus menjadi pentas terbaik bagi meraih populariti sekelip mata buat pesertanya.

Tidak hairanlah golongan berusia 40 tahun ke atas daripada pelbagai profesion amat teruja mencuba nasib menyertai program yang mencetuskan fenomena baru ini.

Kali ini, Kilauan Emas edisi kelima turut membariskan mereka yang mempunyai pelbagai profesion antaranya bekas penyanyi iaitu Hassan Idris, 68, yang pernah bersama kumpulan The Strollers, pelakon Shahrul Zaman Kamaludin dan Nurashikin Ibrahim yang bekerja sebagai doktor.

Ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan peserta Kilauan Emas 5 (KE5) baru-baru ini, ketiga-tiganya mengakui bukanlah mencari populariti menerusi program ini, sebaliknya mereka mencari kepuasan diri selain mempertaruhkan bakat yang ada.

Bagi Hassan yang popular pada era 1970-an, zaman mencari populariti sudah berlalu dan penyertaannya sekadar memenuhi kehendak rakan.

“Saya masih aktif menyanyi bersama Bagooz Band dan kerap mengadakan persembahan di hotel sekitar Kuala Lumpur dan Melaka. Saya bergabung dengan anak sendiri dan seorang rakan dalam persembahan.

“Boleh dikatakan kami sudah dikenali dan sering diundang menjayakan majlis tertentu. Saya gembira dengan apa yang dilakukan kerana saya minat menyanyi sejak dulu sampailah sekarang.

“Bagaimanapun, saya sering dipaksa rakan untuk mencuba nasib dalam Kilauan Emas dan tak sangka selepas menjalani uji bakat untuk Zon Tengah, saya akhirnya terpilih jadi peserta musim ini,” katanya.

Hasan berkata, sebolehnya dia akan memberikan persembahan terbaik dan pengalaman yang ada dipergunakan sebaik mungkin untuk memenangi hati juri dan peminat.

“Saya lihat semua peserta hebat-hebat belaka. Apapun saya pasti akan keluarkan semua ilmu yang ada untuk persembahan nanti. Saya percaya kawan-kawan dan peminat pasti akan memberikan undian untuk saya,” katanya yang popular menerusi lagu Silly Jokes dari album Waiting Is.

Zaman capai cita-cita asal

Pelakon, Shahrul Zaman, 49, atau dikenali sebagai Zaman dalam KE 5 berkata, walaupun lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi minatnya lebih terarah kepada nyanyian.

“Saya pernah tampil dengan album duo bersama Saiful berjudul Perjalanan pada 1999. Kebetulan ketika itu ekonomi kita gawat, jadi album itu kurang dapat sambutan membuatkan saya menumpukan perhatian pada kerja di samping aktif berlakon.

“Saya cuba nasib untuk uji bakat dan tak sangka terpilih sebagai peserta musim ini. Awalnya saya sekadar nak cuba nasib, tapi apabila berjaya jadi peserta KE 5, saya nak capai kembali cita-cita asal sebagai penyanyi,” katanya yang juga abang kepada pengarah dan pelakon Along Kamaludin.

Zaman berkata, sebelum ini dia hanya melihat perkembangan Kilauan Emas dari jauh, namun kali ini mencuba nasib bagi memenuhi misi yang ditetapkannya sendiri.

“Saya memang terfikir nak sertai program ini sebelum umur mencecah 50 tahun dan nampaknya impian ini jadi kenyataan. Saya percaya juri menilai saya berdasarkan bakat dan bukan kerana saya seorang pelakon.

“Begitu juga dengan peminat nanti kerana mereka akan menilai daripada pelbagai aspek sebelum memberikan undian,” katanya yang kini memilih watak bersesuaian untuk berlakon.

Ann ambil cuti tanpa gaji

Memegang jawatan sebagai doktor pakar bukan menjadi penghalang buat Nurashikin, 46, atau Ann untuk bergelar peserta KE 5.

“Saya aktif menyanyi ketika di bangku sekolah hinggalah di universiti, tapi tidaklah sampai jadi penyanyi. Menyanyi adalah minat saya. Ketika belajar, arwah ibu memberi kata dua sama aada memilih pelajaran atau nyanyian dan saya memilih pelajaran.

“Apabila sudah bergelar doktor, arwah ibu kembali buka mulut menyuruh saya meneruskan minat menyanyi sekiranya ada dan saya begitu menghargai sokongannya,” katanya.

Menurutnya lagi, penyertaannya dalam KE 5 juga dibuat kerana desakan rakan yang memuji kemerduan suaranya.

“Ramai yang kata suara saya sedap, jadi saya nak tengok sejauh mana saya boleh pergi. Apabila berjaya tersenarai, saya buat keputusan cepat dengan berbincang dengan pihak atasan dan mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan,” katanya yang berharap mampu ke pentas akhir.

Semua peserta akan tampil dalam konsert prolog bermula jam 9 malam ini dan Rabu depan jam 9 malam sebelum memulakan cabaran sebenar dalam Kilauan Emas 5.

Juara KE5 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta trofi sumbangan Astro. Naib juara menerima RM50,000 dan trofi, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing memenangi wang tunai RM30,000 dan RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 11:02 AM