AKSI bertenaga Zul menerima pujian Erra.
AKSI bertenaga Zul menerima pujian Erra.
 NORYA dilihat sebagai peserta yang selamba dan memberi keceriaan.
NORYA dilihat sebagai peserta yang selamba dan memberi keceriaan.
 HATTAN, Erra dan Ramli sebagai juri.
HATTAN, Erra dan Ramli sebagai juri.
PESERTA yang menyahut cabaran dalam Kilauan Emas musim ini.
PESERTA yang menyahut cabaran dalam Kilauan Emas musim ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Tiada peserta yang tersingkir pada konsert minggu pertama Kilauan Emas 5 yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (Saluran 105) dan Maya HD (Saluran 135), Rabu lalu.

Persembahan yang ditunjukkan mereka keseluruhannya memuaskan hati juri kerana sudah membuat persediaan rapi kecuali beberapa kelemahan kecil yang perlu diperbaiki untuk minggu seterusnya.

Peserta lelaki yang berentap musim ini, Mursalim Muhidin atau Aling, 44, dari Sabah, Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman (Elji, 44, Johor), Hassan Idris (Hasan, 68, Kuala Lumpur), Wan Mohd Hasbi Wan Jaafar (Hasbi, 40, Kedah), Shahrul Zaman Kamaludin (Zaman, 49, Kuala Lumpur) dan Dzulkifli Jalil (Zul, 54, Selangor).

Peserta wanita pula terdiri daripada Hazlina Wati Zainuddin (Lina, 42, Johor), Noor Hayati Slamat (Norya, 54, Perak), Norasmah Ibrahim (Asmah, 51, Perak) dan Nurashikin Ibrahim (Ann, 46, Selangor).

Bagaimanapun, sudah ada elemen kejutan apabila Astro memperkenalkan pusingan ‘wild card’ dengan menampilkan tiga peserta yang membuat persembahan khas pada malam itu.

Seorang daripada mereka akan dibawa masuk yang ditentukan menerusi format 100 peratus undian SMS daripada penonton tanpa campurtangan juri yang akan diumumkan minggu depan.

Tiga peserta pusingan ‚wild card‘, Ab Malek Mohd Amil @ Mohd. Amir (Malik, 46, Johor), Laila Saharin (Laila, 57, Selangor) dan Mustaffa Rasyid Abd Jabar (Mustar, 47, Selangor).

Mereka bersaing untuk merebut hadiah lumayan iaitu wang tunai RM100,000 untuk juara dan naib juara, RM50,000. Tidak ketinggalan wang tunai RM30,000 dan RM10,000 untuk tempat ketiga dan keempat, manakala RM10,000 akan menjadi milik pemenang kategori anugerah juri.

Konsert KE 5 minggu pertama yang berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil sekali lagi mengekalkan Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin sebagai pengacara manakala Feeya Iskandar turut kekal sebagai pengacara episod Belakang Tabir Konsert Kilauan Emas, Nota Kilauan Emas serta Karpet Prima Kilauan Emas. Manakala juri tetap KE5, Datuk Hattan dan Erra Fazira.

Apapun kelihatan sudah ada bibit kemeriahan dalam KE 5 menerusi perwatakan Norya yang selamba menyanyikan lagu dangdut Tera Jana (Tuti Wibowo) sehingga mendapat pujian Hattan yang mengakui terhibur dengan persembahan yang ditunjukkan.

Karakternya yang melatah juga mengundang ketawa penonton. Begitu juga ‘tenaga’ hebat yang ditunjukkan Zul menerusi lagu Aku Harus Jadi Superstar (Duo Kribo) mengundang kekaguman Erra yang menyifatkan nyanyiannya ada ‘groove’ dan gaya tersendiri selain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

Mustar yang menyanyikan lagu Terpisah Akhirnya (A Ramlie) dalam pusingan ‘wild card’ pula mendapat perhatian kerana ‚kejujurannya‘ ketika beraksi dan tidak mustahil dia berpeluang untuk masuk sebagai peserta ke-11 musim ini.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan, Man Keedal dan Hillary Ang yang bergandingan memainkan lagu Another You, Meor KE 3 (Menara Kesesatan), Arip KE 4 (Bujang Senang), Meor & Arip (Pelayaran), Kelembai Band (Hatiku Kau Guris Luka) dan Allen Castello (She’s Gone).

Baiki kelemahan

Hattan yang ditemui pada sidang media memberitahu, ada peserta masih takut-takut sehingga menjejaskan persembahan mereka.

“Ada yang yakin macam Zul kerana dia pemuzik di Istana Budaya. Ann pula nampak gementar, tetapi boleh dipuji kerana berani mengambil cabaran masuk bertanding.

“Keseluruhannya mereka bagus, manakala ‚wild card‘ pula diwujudkan kerana kami nak beri peluang kepada mereka yang berbakat untuk turut serta. Saya juga nampak peserta wanita kali ini lebih bagus dan ia satu cabaran buat peserta lelaki yang sering mendominasi Kilauan Emas,” katanya.

Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, ada 14 peserta yang hebat ketika pemilihan terakhir sedangkan mereka hanya perlu memilih 10 peserta.

“Malik misalnya datang ke sesi uji bakat lima tahun berturut-turut. Jadi kami beri peluang kepadanya dengan menyerahkan kepada penonton untuk memilih,” katanya.

Juri jemputan, Datuk Ramli MS pula mahu peserta diberitahu teknik menyanyi dan persembahan yang betul kerana ada di antara mereka gagal berbuat demikian.

“Contohnya Hasan, seorang penyanyi yang bagus, tetapi persembahannya ada imej pemuzik kelab. Dia perlu faham ini pertandingan dan kena berusaha keras lagi.

“Malam ini semua peserta menyanyikan lagu pilihan masing-masing. Tunggulah cabaran pada minggu berikut nanti,” jelasnya.

Erra pula lebih fokus kepada aspek persembahan dan keyakinan diri. Dia puas hati kerana dapat memberi teguran membina untuk semua peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:34 PM