ANN tersingkir.
ANN tersingkir.
ZAMAN perlu berusaha lebih keras untuk menarik sokongan pengundi.
ZAMAN perlu berusaha lebih keras untuk menarik sokongan pengundi.
MUSTAR diminati kerana kejujurannya ketika menyanyi.
MUSTAR diminati kerana kejujurannya ketika menyanyi.
NORYA menyanyikan lagu Joget Siapa Dia.
NORYA menyanyikan lagu Joget Siapa Dia.
AYAI terhibur dengan nyanyian Hasbi.
AYAI terhibur dengan nyanyian Hasbi.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Baru memasuki konsert minggu kedua, peserta Nurashikin Ibrahim atau Ann, 46, dari Selangor sudah ditunjukkan jalan keluar dalam program Kilauan Emas 5 (KE 5).

Turut berada dalam kedudukan bahaya selepas undian ditutup ialah Aling dan Zaman yang juga tersenarai dalam senarai tiga peserta terbawah bersama Ann, tetapi masih berpeluang beraksi untuk ming­gu berikutnya.

Menerusi program berlangsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil dan dipancarkan menerusi Astro Prima (Saluran 105) dan Maya HD (Saluran 135) Rabu lalu yang bertemakan irama Malaysia dan retro, Ann gagal menyampaikan lagu Ya Maulai nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza dengan baik sehingga mendapat komen keras daripada juri, Datuk Hattan.

Aling pula menyampaikan lagu Have You Ever Seen The Rain (Creedence Cleawater Revival), manakala Zaman menyanyikan lagu berentak blues, Mak Siti (Blues Gang). Kedua-duanya mendapat komen positif daripada juri namun gagal menarik hati peminat untuk menghantar undian.

Selepas undian ditutup, kedudukan teratas diungguli oleh Mustar, 47, yang menyampaikan lagu Tak Seindah Wajah (Tan Sri SM Salim) apabila mendapat undian 51.91 peratus.

Tempat kedua Hasbi, 40, dari Kedah yang menyanyikan lagu Release Me (Engelbert Humperdink) dengan 51.42 peratus dan ketiga, Zul, 54, dari Selangor dengan lagu Delilah (Tom Jones) yang memperoleh 46.90 peratus.

Lima lagi peserta yang kekal bersaing bersama mereka ialah Elji, 44; Hasan, 68; Lina, 42; Norya, 54; dan Asmah, 51.

Secara keseluruhan, persembahan semua peserta sangat mantap dan menghiburkan. Bagaimanapun, juri yang terdiri daripada Datuk Hattan, Erra Fazira dan Datuk Ramli MS mahukan mereka mencari potensi diri atau ‘X factor’ untuk memenangi hati pengundi.

Minggu kedua Kilauan Emas 5 tampil dengan cerita tersendiri apabila Mustar berjaya menempatkan

diri sebagai peserta menerusi pusingan ‘wild card’ mengatasi Malik, 46, dan Laila, 57.

Tidak terkecuali kemunculan Datuk Jalaluddin Hassan menerusi lagu Puteri Ledang nyanyian Asmah, namun malangnya seakan tidak dipedulikan oleh peserta itu serta komen Hattan yang dianggap keterlaluan terhadap Ann.

Ann yang ditemui bagaimanapun mengakui tidak berkecil hati dengan komen diberikan dan berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dalam Kilauan Emas 5.

“Saya anggap impian saya kesampaian kerana dapat beraksi di atas pentas dan berkongsi bakat yang saya ada. Tema untuk minggu kedua sebenarnya diberi seminggu awal.

“Saya tak lupa mengenai cabaran yang perlu dilalui dalam KE, tapi setiap orang ada genre kegemaran masing-masing. Pada saya kena menyanyi genre irama Malaysia sangat mencabar dan saya ambil cabaran ini. Hanya lagu Ya Maulai yang saya tahu berbanding lagu lain.

“Apapun saya dah cuba sehabis baik dan puas hati dengan apa yang diperoleh. Sekurang-kurangnya saya bersyukur dapat mendalami bidang lain selain bidang perubatan yang menjadi profesion saya,” katanya yang juga seorang doktor.

Hasbi pula menafikan tindakannya terhadap Ramli bersifat ‘loyar buruk’ sebaliknya mengakui berlaku secara spontan.

“Ketika latihan lain dan semasa ‘live’ jadi lain pula. Saya tak terfikir langsung nak buat begitu. Ketika buat album bersama kumpulan Storm dulu pun, cara nyanyian saya begini.

“Dengan ilmu yang agak baru yang saya terima daripada guru, sudah tentu saya susah nak belajar benda-benda baru. Sebenarnya saya bukan main-main berkata guru muzik saya meninggal kerana ia benar-benar terjadi.

“Cikgu Aziz meninggal dunia kerana penyakit kencing manis tanpa saya sempat belajar mendalami teknik vokal. Apapun saya dah minta maaf kepada Datuk Ramli dan dia pun kata okay dan tiada masalah,” katanya.

Berbanding orang lain yang mempunyai penyokong dari kalangan keluarga di studio, Hasbi mengakui dirinya sendirian dan menyerahkan kepada peminat untuk menilai bakatnya.

Mustar ingin serius

Tiada perkataan yang mampu diucap oleh Mustar sebaik terpilih menyertai peserta lain kecuali mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

“Saya bersyukur tapi dalam masa sama sedih juga kerana Malik dan Laila gagal masuk dalam KE. Saya memang suka menyanyi dan tak sangka pula terpilih dalam program ini.

“Cuma saya sedih terpaksa berpisah seketika dengan lima anak saya yang berusia dua hingga 11 tahun. Kalau boleh dapat balik sekejap jenguk mereka pun jadilah.

“Mungkin ada yang beranggapan saya akan menyanyi sambil lewa kerana harapkan terkeluar tapi saya tak boleh buat main-main kerana pengundi dah bagi kepercayaan kepada saya,” katanya yang menetap di Kuala Selangor.

Mustar berkata, ketika dipanggil masuk untuk pusingan ‘wild card’ perasaannya berbelah bagi kerana sedang menyiapkan sebuah rumah. Namun mujurlah kawan-kawan lain mengambil alih tugas itu.

“Pendapatan sebagai tukang rumah agak sederhana dan bergantung kepada permintaan. Isteri saya Hazelinda Zainal Abidin, 34, tak bekerja dan sekarang urusan rumahtangga terpaksa digalas olehnya buat sementara waktu.

“Dia pun awalnya berat juga nak lepaskan saya tapi akur dengan kehendak kawan-kawan lain yang mendesak saya masuk program ini,” katanya yang mengakui tidak pernah menyanyikan lagu rock dan Inggeris.

Sepanjang bergelar tukang rumah, Mustar mengakui pernah pengsan selama setengah jam selepas terjatuh dari ketinggian sebuah rumah apabila terpijak batang kayu reput.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:03 AM