Oleh Ridzuan Abdul Rahman

[email protected]

Masalah kesihatan membuatkan Zaman dan Zul gagal memberikan persembahan terbaik sekali gus tersingkir pada konsert minggu kelima Kilauan Emas 5 (KE5) yang berlangsung di Dewan Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Menerusi tema Carta Sinar, Zaman gagal menyampaikan lagu Itu Kamu (Estranged) de­ngan baik sehingga menerima kritikan keras daripada Datuk Hattan.

Begitu juga Zul gagal menghayati lagu Ha­nya Nyanyian Dalam Sepi (Chris Vadham) membuatkan juri jemputan, Datuk Rosyam Nor me­nyifatkan nyanyiannya tidak sedap.

Berbaki hanya dua minggu untuk saingan pentas akhir, pola undian menyaksikan Mustar kembali unggul di atas. Selepas undian ditutup pada penghujung konsert, Mustar meraih undi 52.84 peratus dan diikuti rapat oleh Elji dengan 52.22 peratus.

Diikuti Hasbi (50.97), Lina (47.36), Aling (41.50), Norya (33.48), Zaman (32.68) dan Zul (29.75).

Minggu ini juga agak melegakan Elji dan Aling apabila tidak lagi menerima kritikan keras daripada juri seperti sebelumnya. Aling tentunya boleh menarik nafas lega kerana tidak menduduki tempat tiga peserta terbawah.

Konsert minggu kelima menyaksikan Lina menyampaikan lagu Bagaikan Puteri (Farra), Hasbi (Segalanya Ku Terima- Illusi), Elji (Tika Dan Saat Ini- Medicine), Aling (Ke Pintu Kasih­mu- Fotograf), Norya (Keranamu Kekasih) dan Mustar (Farhana- Jinbara).

Artis undangan yang tampil mengadakan persembahan ialah Sheqal, Roy, Halil Chik, The Lomas, Ewal dan Azhael.

Zaman akur

Zaman, 49, mengakui berdepan masalah kesihatan yang teruk. Dua minggu lalu dia berdepan masalah batuk dan terkini sakit kepala pula.

“Saya baru nak ­pulih daripada batuk tapi akhirnya kena sakit ­kepala pula. Sudah 15 ­tahun saya tak berdepan masalah ini. Mungkin ia berpunca daripada salah makan.

Selepas dibawa berjumpa doktor, saya sempat berehat sekejap sebelum persembahan tapi apabila menyanyi ‘high note’ sakit itu kembali menyerang.

“Kalau nak tarik diri, saya nampak tak amanah pula terhadap peminat. Jadi, saya menyanyi juga dalam keadaan begini. Saya terima dengan rela hati penyingkiran ini kerana mulanya saya hanya cuba nasib jalani ujibakat dan tak sangka terpilih,” katanya yang akan kembali aktif berlakon dan mengarah drama.

Zul kecewa

Zul, 54, pula menganggap persembahannya minggu ini paling teruk dan kecewa kerana impiannya untuk ke pentas akhir berkecai.

“Minggu pertama saya tampil dengan kejutan, minggu kedua pula ung­gul, ketiga masih melawan, minggu keempat hilang suara dan kelima terus hancur. Ini bukan Jack Zul yang orang kenal seperti dulu.

“Saya sangat-sangat kecewa. Sejak minggu lalu saya rasa seperti ada gangguan. Lebih 35 tahun saya menyanyi dan kali ini saya alami pengalaman pelik. Apabila tersingkir saya dikira tiada nilai. Mungkin saya akan menghilangkan diri buat seketika untuk menenang­kan diri,” katanya yang akan kembali ke Istana Budaya sebagai pemuzik.

Elji baru bertemu sentuhan

Biarpun berpengalaman menyanyi di kelab dan pernah menghasilkan album, bukan bermakna Elji, 44, selesa.

Hampir setiap minggu dia berdepan kritikan juri dan baru minggu ini dia gembira dengan prestasinya.

“Apabila masuk Kilauan Emas, saya kena bermula dari bawah semula dan tak boleh lagi kekal dengan cara yang dulu. Saya selesa dengan lagu bernada tinggi tapi dalam program ini kena menyanyi pelbagai genre lagu.

“Minggu lalu saya menyanyikan lagu Relakan Jiwa tapi malangnya berdepan masalah batuk dan kahak. Saya terpaksa ambil suntikan dan tiga jam sebelum persembahan barulah ada suara semula.

“Apapun saya anggap komen daripada juri sebagai input untuk baiki diri dan tak pernah ambil hati. Inilah yang membuatkan saya memberikan hasil terbaik minggu ini. Semuanya hasil daripada pembelajaran dengan tenaga pengajar yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:54 AM