10 peserta yang membawa cabaran dalam Kilauan Emas 5.
10 peserta yang membawa cabaran dalam Kilauan Emas 5.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Selepas sesi uji bakat di enam lokasi, lengkaplah 10 peserta Kilauan Emas 5 (KE5) yang bakal membuka gelanggang, Rabu depan dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Mereka yang dipiih terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pengawal keselamatan, peniaga, pemuzik, pemuzik jalanan, pelakon, suri rumah, pengusaha kedai makan, doktor termasuklah pelakon dan pemuzik, namun semuanya mempunyai persamaan iaitu vokal yang hebat dan memukau. Tentu sekali mereka 'otai' yang dicari-cari.

Ketua Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi berkata, saingan semakin sengit setiap tahun menjadi cabaran terbesar Astro memilih peserta yang benar-benar berpotensi.

“Rata-rata yang hadir pada sesi uji bakat memang cukup bersedia dari segi fizikal dan mental terutama dalam pemilihan lagu, corak persembahan, pemakaian dan sebagainya.

“Sepuluh peserta ini memiliki personaliti unik yang kami lihat mampu memberikan warna dan saingan ­dalam pertandingan ini. Kami percaya mereka juga sudah tak sabar lagi untuk memperlihatkan bakat otai sedia ada yang dimiliki,” katanya.

Sepuluh peserta terbabit ialah Mursalim Muhidin atau Aling, 44, dari Sabah; Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman (Elji, 44, Johor); Hassan Idris (Hasan, 68, Kuala Lumpur); Wan Mohd Hasbi Wan Jaafar (Hasbi, 40, Kedah); Shahrul Zaman Kamaludin (Zaman, 49, Kuala Lumpur) dan Dzulkifli Jalil (Zul, 54, Selangor).

Peserta wanita pula terdiri daripada Hazlina Wati Zainuddin (Lina, 42, Johor); Noor Hayati Slamat (Norya, 54, Perak); Norasmah Ibrahim (Asmah, 51, Perak) dan Nurashikin Ibrahim (Ann, 46, Selangor).

Mengulas cabaran peserta wanita, Azlin berkata, harapan besar sememangnya diletakkan agar dapat memecahkan dominasi peserta lelaki yang sudah empat musim menjuarai program ini.

“Memang sejak awal lagi kami berharap ada peserta wanita yang menonjol. Harapnya mereka dapat buat yang terbaik. Mungkin kali ini kita dapat saksikan ada juara dalam kalangan mereka,” katanya.

Mengulangi fenomena sebelumnya, program ini turut menampilkan bekas penyanyi iaitu Hasan yang pernah bersama kumpulan The Strollers yang popular sekitar 1970-an, bekas penyanyi Storm, Hasbi dan Elji yang pernah menghasilkan album. Tidak terkecuali, Zaman juga pernah menghasilkan album duo pada 1999.

Syarat untuk penyanyi menyertai Kilauan Emas ialah mereka tidak menghasilkan album terbaru dalam tempoh enam tahun.

Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, Konsert Prolog KE5 berlangsung pada 15 dan 22 April di Studio 1 Astro sebelum konsert sebenar bermula di lokasi lain yang akan diberitahu kelak.

KE5 menampilkan Datuk Hattan dan Erra Fazira sebagai juri tetap, manakala dua lagi juri jemputan diundang setiap minggu.

Tiga tenaga pengajar turut ditampilkan iaitu Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal, Syafizawati Sharif sebagai guru nyanyian dan Ayai Ilusi sebagai guru persembahan bagi menyumbangkan khidmat dan kepakaran masing-masing buat peserta.

Sentuh hanya yang perlu

Ketika sesi uji bakat, Erra Fazira begitu tertarik dengan vokal setiap peserta yang terpilih.

Bagaimanapun mereka belum bertemu dengan cabaran sebenar yang menanti dalam Kilauan Emas.

“Sekarang kita lihat nyanyian mereka dalam genre yang disukai dan dianggap makanan masing-masing, tapi saya lihat dari segi vokal semuanya memang tiada masalah besar.

“Cuma saya akan memberikan komen dari aspek per­sembahan dan keyakinan diri. Bab vokal itu biarlah diserahkan pada mereka yang arif. Saya juga akan ambil pendekatan terbaik untuk beri kritikan kerana mereka bukanlah budak-budak yang perlu diajar,” katanya.

Hattan pula meminta semua peserta bersedia mental dan fizikal kerana banyak kerja yang perlu dibuat mereka nanti.

“Sebelum ini menyanyikan lagu kesukaan masing-masing. Mereka belum sampai ke zon bahaya yang menyeksa jiwa. Selepas ini barulah mereka tahu langit tinggi rendah.

“Apabila mengharungi cabaran sebenar, Tuhan saja yang tahu bagaimana sukarnya nak bergelar peserta dan merebut gelaran juara,” katanya tegas.

Konsert mingguan Kilauan Emas akan bersiaran secara langsung selama tujuh minggu setiap Rabu, jam 9 malam di Astro Prima dan Astro Maya HD.

Peserta akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 70 peratus oleh juri tetap, manakala 30 peratus lagi akan ditentukan berdasarkan undian sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton. Talian undian secara SMS akan dibuka secara rasmi bermula 15 April ini.

Juara Kilauan Emas 5 bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula bakal membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Sementara itu, tempat ketiga dan keempat bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 dan RM10,000 serta trofi.

Pemenang kategori anugerah juri pula akan menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pemenang untuk anugerah Nestle Omega Plus pula akan membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi.

KE5 menampilkan kerjasama Astro dengan Nestle Omega Plus selaku penaja utama di samping Superbest Coffee sebagai penaja bersama.

Radio Sinar FM dipilih sebagai radio rasmi Kilauan Emas 4 dan turut disokong Thr Gegar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:26 AM