PERSEMBAHAN terakhir Hasbi di pentas Kilauan Emas.
PERSEMBAHAN terakhir Hasbi di pentas Kilauan Emas.
EMPAT peserta final Kilauan Emas 5.
EMPAT peserta final Kilauan Emas 5.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Harapan kecewa! Itulah nasib yang menimpa Hasbi apabila dikejutkan dengan penyingkirannya pada konsert separuh akhir Kilauan Emas 5 yang berlangsung di Dewan Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

Selepas saban minggu menduduki tangga terbaik dan menerima pujian juri, peserta dari Kedah yang sinonim dengan genre rock ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas gagal menyampaikan lagu dengan baik kerana disyaki menghidap demam denggi.

Turut berputih mata ke pentas akhir ialah Norya yang sering menceriakan suasana dengan keletah selamba dan sikap melatahnya.

Walaupun persembahannya menerima pujian juri, undian peminat jelas tidak menyebelahinya.

Ini bermakna hanya empat peserta iaitu Aling, Mustar, Elji dan Lina akan meneruskan cabaran merebut kejuaraan Kilauan Emas 5 pada pentas akhir pada Rabu depan.

Konsert separuh akhir tampil dengan tema Duet & Inspirasi Peminat dan selepas undian ditutup pada penghujung program, Mustar mula mengorak langkah meninggalkan peserta lain de­ngan 57.97 peratus dan diikuti Elji dengan 44 peratus.

Ini diikuti Lina (41.5), Aling (40.4), Norya (38.9) dan Hasbi (35.6).

Barisan juri yang diketuai Datuk Hattan, Erra Fazira, Datuk Ramli MS dan juri jemputan Mamat Khalid meminta semua peserta memberikan persembahan terbaik kerana hanya selang­kah lagi untuk ke pentas akhir.

Ternyata, mereka menyahut cabaran ini dengan memberikan persembahan yang memikat semua penonton di dalam dewan serta yang menonton di kaca TV.

Norya nak berlakon

Menerima berita penyingkirannya dengan tenang, Norya, 54, sudah maklum dengan konsep Kilauan Emas yang menetapkan hanya empat atau lima peserta ke pentas akhir dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

“Saya sudah buat yang terbaik dan terima keputusan ini. Selepas ini saya nak terus aktif dalam seni sebagai sumber pendapatan. Saya pernah berlakon dulu dan sekarang terbuka nak terima tawaran berlakon atau menyanyi.

“Saya rasa orang suka dengan persembahan saya dan ini boleh membantu untuk saya mencari rezeki. Tapi saya takkan kembali menyanyi di kelab malam seperti dulu. Sudah 13 tahun saya berhenti menyanyi di kelab,” katanya.

Sementara itu, Mustar dan Lina gembira kerana meneruskan kemaraan ke pentas akhir. Daripada peserta pusingan ‘wild card’ Mustar diramal mampu bergelar juara program ini.

“Saya puas kerana berjaya gembirakan keluarga dan penyokong. Saya memang yakin boleh masuk final kalau tak buat kesilapan. Pengajar pun pesan begitu dan saya pegang kata-kata mereka.

“Untuk dapat juara, saya belum yakin lagi kerana pada pentas akhir nanti kena menyampaikan tiga lagu. Saya sebenarnya tiada masalah untuk faham melodi, tapi agak susah untuk ingat lirik. Ini yang paling dirisaukan,” katanya.

Lina pula diuji dengan pelbagai dugaan antaranya suami tercinta dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.

“Memang siapa yang tak sedih apabila suami sakit dan saya tiada disisinya. Tapi dia dah pesan apa-apa berlaku pun saya kena teruskan perjuangan,” katanya yang berhasrat memberikan persembahan terbaik nanti.

Konsert separuh akhir dimeriahkan lagi dengan persembahan barisan artis jemputan iaitu duo Moin, Rozita Izlyn dan Aju ­Success, Liza Abdullah & Zain, Shidee, Tomok, Amir Ukays, Yanzten serta peserta cilik daripada Ceria Popstar.

Konsert ini turut dihadiri ramai pengarang hiburan akhbar dan majalah tempatan bagi memberikan sokongan terhadap segmen penghormatan khas buat wartawan hiburan dan penulis lirik popular, Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau Juwie yang meninggal dunia pada 3 April lalu.

Hasbi sudah dapat petanda

Hasbi, 40, menyifatkan keputusan juri adalah terbaik dan menerima penyingkirannya dengan reda.

“Tiga hari sebelum persembahan memang saya demam teruk dan disyaki kena denggi. Sepatutnya doktor suruh saya buat ujian darah tapi saya enggan kerana takut pada suntikan selain bimbang ditahan di wad.

“Seperkara lagi, ini ialah ujian Allah buat saya,” katanya yang akan kembali aktif sebagai buskers dengan kumpulan Labu Labi serta menjadi deejay kenduri kahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:09 AM