Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Seorang pegawai polis trafik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana meminta dan menerima rasuah daripada lelaki yang terbabit dalam kes kemalangan maut.

Inspektor Mohd Shulul Azmil Shuaibon, 32, yang sebelum ini bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan didakwa meminta rasuah sebanyak RM3,500 pada 5.25 petang, 13 Januari tahun lalu.

Tertuduh didakwa meminta rasuah itu daripada Azman Mat Zain sebagai pertolongan yang dicadangkan dengan cara sama ada lelaki itu hanya dikenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak mendakwanya di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kematian dalam kemalangan pada 5 November 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM3,000 pada hari dan tempat yang sama antara 7 hingga 7.50 malam di Cawangan Trafik IPD Johor Bahru Selatan bagi tujuan untuk tidak menuduh Azman di mahkamah.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz dan pendakwaan dijalankan Ridzuan Abd Malik, manakala Rosli Kamaruddin mewakili tertuduh.

Mohamad Haldar kemudiannya menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan degan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:54 AM