Oleh MaryVictoria Dass


Johor Bahru: Seorang Pekerja Rendah Awam Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Naf' Kamarulzaini Atan, 33, dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan denda RM320,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, sebentar tadi selepas disabit kesalahan meminta dan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan pada lima tahun lalu.

Manakala pegawai atasannya, Penolong Pegawai Tanah Kanan Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Rahmat Abdullah, 52, dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan denda RM25,000 selepas disabit kesalahan meminta dan menerima rasuah daripada ahli perniagaan sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhi hukuman berkenaan terhadap Naf' Kamarulzaini yang menghadapi empat pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM64,000 antara 31 Mei 2010 hingga 8 Julai 2010.

Bagi setiap pertuduhan, Naf' Kamarulzaini dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun yang akan berjalan secara serentak mulai tarikh keputusan.

Manakala Rahmat menghadapi pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM5,000 pada 12 Julai 2010.

Mohamad Haldar turut menetapkan hukuman penjara tambahan selama setahun bagi Rahmat dan tiga tahun bagi Naf' Kamarulzaini sekiranya gagal membayar denda pada hari ini.

Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ke atas mereka ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Kedua-dua tertuduh didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan untuk membantu syarikat Saujana Serangkai Sdn Bhd bagi mendapatkan kelulusan permohonan mengeluarkan saki baki kayu di mukim Sedili Besar, Kota Tinggi.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM, Ridzuan Abd Malik manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguambela, Rosli Kamarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 1:02 PM