TERTUDUH keluar dari  Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO K Manimaran
TERTUDUH keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO K Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Inspektor polis dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah wang tunai RM1,500 pada April 2012.

Inspektor Amrin Paiman, 54, yang berkhidmat sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas kesalahan menerima wang sogokan sebanyak RM1,500 pada 10 April 2012 daripada pesalah trafik sebagai dorongan untuk tidak didakwa atas kesalahan memandu secara melulu.

Amrin yang diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Muhaimin Aris turut akan dikenakan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat dalam hujahnya meminta mahkamah mengenakan denda yang maksimum terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan penjawat awam serta Amrin bernasib baik kerana diberi tuduhan pilihan yang pertuduhan asal jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Muhammad Fadhli dalam hujahnya pula meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan meminta hukuman denda yang minimum dikenakan atas alasan tertuduh juga sudah terhukum dengan pengakuan yang dibuat mengakibatkannya hilang maruah selain mungkin akan diberhentikan kerja.

Hakim Indra Nehru Savandiah selepas mengambil kira hujah dan rayuan kedua-dua pihak kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Selain itu, tertuduh juga dilepas dan dibebaskan terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan wang tunai berjumlah RM1,200 pada November 2013 yang dihadapinya Selasa lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengakuan bersalah Amrin hari ini mengikut Seksyen 171 Kanun Tatacara Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 3:22 PM