JAGUAR F-TYPE Project 7 hanya dua unit diperuntukkan untuk pembeli Malaysia.
JAGUAR F-TYPE Project 7 hanya dua unit diperuntukkan untuk pembeli Malaysia.

Kuala Lumpur: Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (Jaguar Land Rover), pengedar kenderaan Jaguar dan Land Rover di negara ini mengumumkan bahawa hanya dua pembeli istimewa di Malaysia akan menerima penghormatan memiliki kereta berkuasa tinggi Jaguar F-TYPE Project 7 edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 250 unit di seluruh dunia.

F-TYPE Project 7 adalah kereta prestasi tinggi Jaguar yang pertama daripada pasukan Operasi Khas Jaguar Land Rover selain kereta Jaguar paling pantas dan berkuasa yang pernah dibina oleh gergasi automotif itu.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, harga kereta itu akan diumumkan semasa permohonan dan pelanggan yang berminat boleh menghubungi cawangan Sime Darby AutoConneXion dan SISMA Auto, yang menawarkan kedua-dua model Jaguar dan Land Rover.

Model yang tampil dengan reka bentuk roadster itu memberi penghormatan kepada salah satu kereta lumba Jaguar paling terkenal, yang dianggap sebagai ikon, iaitu Jaguar D-type yang menjuarai Le Mans sebanyak 3 kali.

“Kereta itu telah meraikan ulang tahun ke-60 pada 2014 manakala nama F-TYPE Project 7 pula memperingati tujuh kemenangan nyata Jaguar di Le Mans.

“Kereta ini sah dipandu untuk kegunaan jalan raya, dengan bumbung boleh dibuka dan ruang muatan 196-liter serta dijana oleh enjin V8 5.0 liter yang mampu mencapai pecutan dari 0-100km/j dalam masa 3.9 saat dan kelajuan tertinggi yang dihadkan secara elektronik sehingga 300km/j,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Operasi Khas Jaguar Land Rover, John Edwards berkata, F-TYPE Project 7 adalah pengeluaran model paling berkuasa yang pernah dibina dan memberi penghormatan kepada tujuh kemenangan nyata Jaguar di Le Mans dengan ciri reka bentuk ketara yang diilhamkan oleh Jaguar D-t D-type.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:08 AM