RONALDO (tengah) jaring satu gol ketika Real mengalahkan Real Betis awal pagi tadi. -Foto Reuters
RONALDO (tengah) jaring satu gol ketika Real mengalahkan Real Betis awal pagi tadi. -Foto Reuters
AFP

SEVILLE: Marco Asensio meledak dua gol dengan Cristiano Ronaldo turut mencetak nama selaku penjaring ketika Real Madrid mencatat kemenangan sukar 5-3 ke atas Real Betis dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Real ketinggalan 2-1 berakhir babak pertama pada aksi di Benito Villamarin, tetapi bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Sergio Ramos, Asensio - yang turut menjaringkan gol pertama - Ronaldo dan Karim Benzema.

Mereka juga menafikan kebangkitan lewat Betis dan selepas melakar kemenangan 3-1 dalam aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara ke atas Paris Saint-Germain, minggu lalu, kemenangan mengesahkan skuad kendalian Zinedine Zidane kini semakin baik dalam kempen La Liga.

Galacticos begitupun kekal di tangga keempat liga dengan jurang besar 17 mata di belakang pendahulu Barcelona.

Tetapi ia adalah kemenangan keempat dalam lima pertembungan liga dan mereka kembali merapatkan kedudukan kepada satu mata dengan Valencia di tangga ketiga serta memiliki kelebihan satu perlawanan.

“Ia adalah perlawanan yang amat menarik sehingga penghujung permainan, sedikit gila, tetapi saya menggemarinya. Ia menunjukkan yang kami memiliki lawan yang kuat,” kata Zidane.

“Betis pasukan yang menakjubkan dan mengawal permainan pada penghujung babak pertama. Tetapi saya akhirnya yang meraih kegembiraan dan saya lebih gemar untuk fokus kepada lima gol yang kami jaringkan berbanding tiga yang kami lepaskan.”

Sementara itu, Kevin Gameiro keluar daripada bangku simpanan pada babak kedua untuk menjaringkan satu gol dan membuat satu umpanan kepada Diego Costa bagi membantu Atletico Madrid menewaskan Athletic Bilbao 2-0.

Ia satu lagi persembahan baik buat skuad kendalian Diego Simeone yang ketika ini mencatatkan empat kemenangan liga berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol dan menghuni tangga kedua La Liga.

Begitupun, mereka kekal tujuh mata di belakang Barcelona yang masih belum tewas pada aksi liga musim ini dan menang 2-0 ke atas Eibar, semalam serta akan membuat kunjungan ke Chelsea bagi aksi Liga Juara-Juara.

“Kami tidak akan mengalah, kami bermain dengan baik di kejohanan ini dan kami menikmatinya,” kata Gameiro ketika ditanya mengenai pemburuan Atletico terhadap Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:02 AM