PEDRO (kiri) dan Iniesta memperagakan trofi Piala Super Eropah dimenangi Barca.
PEDRO (kiri) dan Iniesta memperagakan trofi Piala Super Eropah dimenangi Barca.
Reuters

Tbilisi, Georgia: Pemain gantian Barcelona, Pedro Rodriguez menjaringkan gol pada masa tambahan bagi memastikan kemenangan 5-4 ke atas Sevilla pada Piala Super Eropah selepas mereka mensia-siakan pendahuluan tiga gol, awal pagi semalam.

Barca menyatakan sebelum perlawanan itu Pedro mahu berpindah, namun pemain berusia 28 tahun itu masuk untuk memastikan menjulang trofi, seperti yang dilakukannya pada 2009, apabila dia merembat masuk bola muntah hasil sepakan percuma Lionel Messi.

Messi sendiri menyumbat dua gol menerusi dua sepakan percuma menakjubkan manakala Rafinha dan Luis Suarez turut meledak buat kelab Catalunya itu, yang mendahului 4-1 hingga setengah jam sebelum tamat.

Kejayaan kelima Barca pada pertandingan itu, bermakna mereka kini menang empat trofi tahun ini, meletakkan mereka setaraf dengan AC Milan dalam senarai pemenang Piala Super Eropah sepanjang zaman.

“Saya mendapat gol ini, tapi ia sebenarnya hasil kerja keras sepasukan dan saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Pedro. “Apabila anda tahu anda mungkin meninggalkan kelab ia amat sukar. Saya marah kerana tidak berada dalam kesebelasan utama tapi saya sering kali cuba bertindak profesional dan masuk untuk membantu.”

Ever Banega membantu pemenang Liga Europa, Sevilla mendahului menerusi sepakan percuma selepas tiga minit, namun Messi mempamerkan keunggulannya dengan dua sepakan percuma mengagumkan selepas tujuh dan 16 minit.

Dua gol pemain Argentina itu buat pemenang Liga Juara-Juara bermakna dia sekali lagi berkongsi status sebagai penjaring gol terbanyak pertandingan Eropah bersama pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo dengan 80 gol.

Rafinha menampan masuk hantaran Suarez sebelum rehat dan pemain Uruguay itu sendiri menjaringkan gol sebaik babak kedua bermula.

Sevilla bagaimanapun bangkit menerusi jaringan Jose Antonio Reyes selepas 57 minit dan sepakan penalti Kevin Gameiro pada minit ke-72 sebelum Yevhen Konoplyanka menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat bagi memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

“Kami turun dengan berusaha mencipta kreativiti serta mencetus bahaya,” kata jurulatih Sevilla, Unai Emery.

“Untuk layak ke final Eropah anda perlu dihormati jadi menyerang lawan menjadi pendekatan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:26 AM