FORNALS (tiga dari kiri) meraikan gol tunggalnya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
FORNALS (tiga dari kiri) meraikan gol tunggalnya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Kelab bermasalah Real Madrid berdepan risiko ketinggalan lebih jauh dalam La Liga Sepanyol selepas gol lambungan mengelirukan Pablo Fornals menyaksikan Villarreal pulang dengan kemenangan 1-0 awal pagi tadi, kemenangan sulung mereka di Santiago Bernabeu.

Fornals meledak tiga minit sebelum tamat menyebabkan anak buah Zinedine Zidane yang mensia-siakan banyak peluang terperosok di tangga keempat dan 16 mata di belakang pendahulu Barcelona, defisit yang akan berubah kepada 19 mata jika Barca menang di Real Sociedad, hari ini.

Lebih memburukkan keadaan jurang 10 mata membezakan Real dengan pasukan tangga kedua yang juga musuh setempat Atletico Madrid, yang melonjak dengan 42 mata dan enam mata di belakang Barca selepas menang 1-0 di Eibar menerusi jaringan Kevin Gameiro pada minit ke-27.

Atletico menang selepas terselamat daripada saat mendebarkan pada masa kecederaan apabila Augusto Fernandez memegang bola ketika perebutan di depan pintu gol namun tidak dihukum pengadil.

RONALDO (baju putih) gagal pamer aksi mantap ketika Real tewas di tangan Villarreal. -Foto Reuters
RONALDO (baju putih) gagal pamer aksi mantap ketika Real tewas di tangan Villarreal. -Foto Reuters

“Kami tidak berhak tewas. Kami mempunyai lebih banyak peluang tapi bola tidak mahu masuk,” kata Zidane yang tertekan selepas kekalahan kedua berturut-turut Real dalam liga di laman sendiri.

Villarreal melonjak ke tangga kelima dengan 31 mata berikutan gol menakjubkan pemain tengah Fornals, sekali gus meletakkan pasukan kendalian Javier Calleja hanya satu mata di belakang Madrid dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara.

Real melakukan hampir 30 percubaan namun banyak tersasar dengan Cristiano Ronaoldo antara pemain paling teruk di depan pintu gol.

“Kami melakukan apa saja yang termampu dan tiada penjelasan kenapa bola tidak masuk,” ujar Zidane, yang menandatangani kontrak baru untuk kekal di Real hingga 2020 awal minggu ini.

“Saya tidak boleh saja-saja mengkritik pemain saya. Ini tempoh yang buruk, tiada alasan lagi.”

Sering kali menjadi penyelamat Real, Ronaldo bermain teruk dan terlepas peluang keemasan sebaik sebelum rehat apabila pemenang Ballon d’Or lima kali itu hanya mampu merembat tepat ke arah penjaga gol Sergio Asenjo selepas menerima umpanan Isco di depan pintu gol walaupun secara praktikalnya pintu gol ternganga luas.

Bintang Portugal itu meradang terhadap pengadil kerana dia berasakan dia dibentes Daniele Bonera sebelum melakukan rembatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:45 AM