Oleh Michelle Gun


Rezeki pelakon Yana Samsudin dalam bidang pengacaraan semakin bertambah sejak mendirikan rumah tangga dengan penulis skrip Fadzil Zahari, Februari lalu.

Selepas mengacara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015, pelakon Adnan Sempit itu bakal mengendalikan program lawak baru Qu Puteh Bintang Bersama Bintang bersama AG Hot FM.

Biarpun masih baru dalam bidang pengacaraan, Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 30, berani menyahut cabaran kerana mahu kelainan dalam kerjayanya.

“Jika dilihat ramai pengacara sekarang juga dari latar belakang berlainan. Jadi saya juga ingin menceburi bidang lain bagi memperluaskan pengalaman. Namun demikian, saya masih aktif dalam lakonan,” katanya.

Menurut Yana, sebelum mendengalikan program, dia membuat persiapan dengan membuat rujukan serta mencari maklumat tambahan.

“Bagi Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, konsepnya berbeza dari program yang pernah diacarakan kerana lebih santai,” katanya.

Pernah mengacara beberapa program seperti Juara Joran dan Lesung Pipit, Yana meluahkan kesyukuran kerana tawaran dalam bidang seni tidak berputus sejak berkahwin.

“Tawaran mengacara Qu Puteh Bintang Bersama Bintang datang dulu sebelum DFKL, namun tidak diberitahu berganding dengan siapa.

“Memandang sudah serasi dengan AG, saya tiada masalah mengendalikan program ini. AG banyak membantu dan memberi tunjuk ajar mengenai pengacaraan,” katanya.

Selepas Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, Yana juga bakal mengendalikan sebuah lagi program hiburan dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:08 AM