Oleh Wahi Aziz


Sudah menjadi trend terkini, apabila artis wanita berhijab, pasti keputusan itu akan disusuli dengan membuka perniagaan tudung menggunakan jenama masing-masing.

Tidak dinafikan, secara umum perniagaan itu disambut baik masyarakat kerana aura dan pe­ngaruh selebriti terbabit selain produk tudung mempunyai pasaran yang sangat besar dalam kalangan wanita Islam di negara ini.

Namun, pelakon dan pengacara Yana Samsudin yang bertudung sejak hujung April lalu punya pandangan bertentangan mengenai persepsi klise itu. Jelas Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, keputusan berjinak-jinak dalam penjualan tudung sejak tiga minggu lalu berpunca daripada keperluan untuk mengenakan tudung setiap hari.

“Saya faham pandangan klise sesetengah pihak menganggap apabila artis berhijab pasti akan menjual tudung dengan kelebihan aura dan populariti mereka untuk bersaing dalam pasaran.

“Pada asalnya, saya hanya pakai tudung rekaan sendiri untuk kegunaan peribadi. Malah, tak terlintas pun nak ceburi bisnes tudung sebab saya sendiri sudah ada bisnes biskut raya.

“Saya mula terfikir nak jual tudung apabila ramai bertanya mengenai tudung yang saya pakai ketika menghadiri program dan acara hiburan kebelakangan ini,” katanya yang mengeluarkan jenama aYana by Yana Samsudin sejak 14 Julai lalu.

Sambungnya, menyedari kerancakan bisnes tudung oleh pelbagai usahawan sama ada orang awam atau selebriti, dia mula mencari identiti untuk tudung jualannya.

“Macam saya katakan tadi, niat asal untuk memudahkan kegunaan sendiri. Jadi dari awal saya memang reka tudung yang tidak memerlukan memakai serkup dalam tudung dan pin peniti.

“Tudung saya direka lengkap dan mudah disarung tanpa dua benda itu kerana saya mahu pakai tudung dengan cepat dan ringkas. Tak sangka pula konsep itu menarik minat banyak pihak sampaikan tudung saya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Berikutan itu katanya, dia mulai tidak menang tangan apabila cabang bisnes baru itu turut menerima respons peniaga daripada Singapura dan Brunei. Bagaimanapun, akui Yana, perkembangan bisnes itu bukan titik noktah untuk kerjaya seni yang dilabelkan segelintir pihak seperti tenggelam timbul, beberapa tahun ini.

“Saya tetap aktif dalam bidang hiburan. Cuma sebelum ini saya banyak fokus untuk mengembangkan potensi pada pengacaraan termasuk hos program televisyen seperti Galaksi TV9.

“Bermula September nanti, saya akan aktif berlakon semula dalam beberapa produksi dan pengacaraan. Walaupun ada bisnes, bidang seni tetap berjalan macam biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:59 AM