ADRIANA Adnan.
ADRIANA Adnan.
Najiy Jefri

Berbekalkan bakat dan raut wajah jelita, pemilik nama pentas Adriana Adnan antara pelakon menjadi pilihan serta buruan ramai penerbit. Maka tidak hairanlah sejak beberapa tahun lalu, wajahnya kerap menghiasi drama yang bersiaran di kaca televisyen.

Adriana mula mencuri perhatian ketika membintangi drama bersiri popular Suri Hati Mr Pilot. Ketika itu, umum mengenalinya sebagai Jannah. Sungguhpun begitu, wanita berusia 23 tahun ini sebenarnya sudah memulakan kariernya sebagai pengacara program H!Live.

Biarpun bermula sekadar suka-suka, siapa sangka anak sulung dalam tiga beradik ini berjaya membuktikan dirinya berbakat dalam dunia lakonan. Maka, tidak hairanlah, selepas itu tawaran demi tawaran diterimanya.

Terbaharu, Adriana yang juga anak kepada pengacara program Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zamzarina Zambri, meneruskan langkahnya dengan naskhah terbaru berjudul Lafazkan Kalimah Cintamu.

Meskipun aktif berlakon, kata Adriana, jauh di sudut hatinya, bidang pengacaraan tetap menjadi cinta pertamanya. Bahkan, dia mengakui selaku pengacara tetap H!Live dan PM Live, keutamaan mesti diberikan kepada dua program terbabit.

“Saya menceburi dunia lakonan untuk meneroka bidang baru. Bagaimanapun, tak semua tawaran saya terima. Kena tengok juga kesesuaian masa memandangkan saya terikat dengan komitmen dalam bidang pengacaraan.

“Apapun, saya tetap seronok berlakon kerana dapat pengalaman baru. Cuma, kalau tanya mana satu yang beri lebih kepuasan, sudah tentulah pengacaraan,” katanya.

Menurut Adriana, tidak mudah melakukan banyak kerja dalam satu masa, malah dia selalu terkejar-kejar. Situasi sebegitu membuatkan dia perlu selektif dalam lakonan bagi mengelakkan berlaku pertindihan jadual.

“Berlakon memerlukan masa yang lama untuk berada di set penggambaran berbanding mengacara.

“Jadi, agak sukar untuk saya ‘berlari’ antara set penggambaran dan ke studio untuk mengacara. Jujur memang letih. Sampaikan ada kalanya terpaksa ubah jadual kerja. Bimbang juga kalau keadaan itu mengganggu jadual kerja rakan lain.

“Jadi, mungkin tahun ini saya kena ‘berehat’ dulu dan hanya fokus pada pengacaraan,” katanya.

Adriana berkata, drama Lafazkan Kalimah Cintamu yang sedang bersiaran menerusi saluran Astro Ria mungkin menjadi naskhah lakonan terakhirnya untuk tahun ini.

“Ini drama paling panjang pernah saya jayakan setakat ini iaitu 32 episod. Saya tertarik dengan jalan ceritanya yang diadaptasi daripada novel popular. Ada beberapa babak saya perlu bermain dengan emosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 3:26 AM