PRAMUGARI AirAsia menunjukkan replika Mata Tetap AirAsia Big.
PRAMUGARI AirAsia menunjukkan replika Mata Tetap AirAsia Big.

Petaling Jaya: Kumpulan AirAsia memperkenalkan mata tetap AirAsia BIG yang membolehkan semua pemegang kad kesetiaan itu menebus penerbangan AirAsia untuk 88 destinasi ke lebih 20 negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, sehingga kini terdapat lebih 12 juta ahli BIG di seluruh dunia dan idea terbaru itu bagi memberi peluang kepada orang ramai termasuk yang berpendapatan sederhana menikmati penerbangan tanpa dikenakan caj bahan api.

“Setakat ini kami tidak bercadang untuk mengenakan caj bahan api ke atas setiap pembelian tiket dan ini menjadi cita-cita kami bukan saja membolehkan mereka terbang ke destinasi pilihan, malah bagi mencipta pengalaman yang lebih berharga kepada penumpang.

“Mata tetap Big dikategorikan mengikut tempoh penerbangan dan bermula antara 4,500 mata bagi penerbangan yang kurang satu jam hingga 30,000 mata untuk penerbangan yang memakan masa lebih dari enam jam,” katanya pada sesi pelancaran AirAsia BIG Fixed Points, di sini, semalam.

Selain itu, AirAsia Berhad turut menjalinkan kerjasama dengan 100 rakan niaga BIG Loyalty termasuk Citibank, Petronas, Maybank, Agoda dan Hilton yang mana pemegang kad boleh mengumpul mata melalui pembelian atau urusan daripada syarikat terbabit.

Kamarudin berkata, menjelang September ini, pemegang kad dibenarkan untuk membuat pindahan mata dari akaun mereka ke akaun pengguna lain dan penumpang juga dapat menggumpul mata daripada setiap pembelian tiket yang dilakukan.

Sementara itu, wartawan News Straits Times, Cheryl Yvonne Achu memenangi penerbangan ke destinasi eksklusif, Hawaii sebagai penerima utama cabutan bertuah yang diadakan semasa majlis pelancaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 10:31 AM