PENGERUSI Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun (tengah) bersama Tony dan Khairussaleh selepas menandatangani perjanjian, semalam.
PENGERUSI Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun (tengah) bersama Tony dan Khairussaleh selepas menandatangani perjanjian, semalam.
Ayisy Yusof

Sepang: RHB Banking Group (RHB) dan AirAsia BIG Loyalty (BIG Loyalty) memeterai kerjasama strategik untuk memperkenalkan program kesetiaan komprehensif yang menarik dan bernilai tambah.

Program itu dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019 membolehkan pelanggan RHB mengumpul AirAsia BIG Points merangkumi produk perbankan runcit terpilih.

Kerjasama antara RHB dan AirAsia BIG Loyalty menyasarkan memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia dengan menjadikan perjalanan dan aspirasi gaya hidup melalui program kesetiaan.

Pengarah Urusan RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli berkata, kerjasama itu memperkenalkan nilai tambah menarik dengan menawarkan program kesetiaan yang membolehkan pelanggan RHB mengumpul AirAsia BIG Points.

“Ia peluang kami memberi ganjaran kepada empat juta pelanggan di atas sokongan mereka kepada RHB Banking Group dengan menawarkan manfaat gaya hidup lebih hebat,” katanya selepas majlis memeterai kerjasama strategik antara AirAsia BIG Loyalty dan RHB Banking Group di sini, semalam.

Pengarah BIG Loyalty Sdn Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama syarikat dengan RHB mengukuhkan teras gaya hidup dan kewangan sambil mengukuhkan ekosistem BIG Points.

“Dengan transformasi proses perbankan harian untuk mendapatkan BIG Points, kami memberikan banyak nilai kepada ahli BIG selain membantu menjadikan impian perjalanan dan gaya hidup mereka kenyataan,” katanya.

Sempena kerjasama itu, pelanggan kad kredit dan debit RHB akan diberikan akses keutamaan seminggu bagi menebus penerbangan sehingga 90 peratus, menggunakan BIG Points daripada serendah 500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:01 AM