AFP

Melbourne: Serena Williams (gambar) memulakan misi untuk menyamai pencapaian Steffi Graff dengan 22 kejuaraan Grand Slam dalam era Terbuka pada masa sama berdepan isu kecederaan dan sejumlah pemain yang mahu menyingkirkannya.

Berikutan aksi dominan sepanjang tahun lalu, pemain nombor satu dunia itu mahu menjulang gelaran Australia buat kali ketujuh dan yakin berjaya mengatasi masalah lutut yang membelenggu separuh kedua tahun lalu dan sebelum menyertai kejohanan di Melbourne Park.

Dia menegaskan ‘120, 130 peratus di landasan tepat’ ketika bersedia mengharungi pusingan pertama menentang pemain Itali Camila Giorgi, pemain ranking tertinggi dalam kalangan bukan pilihan untuk undian pemain wanita.

“Saya mempunyai persediaan yang baik. Maksud saya, saya tidak mempunyai perlawanan latihan seperti yang saya ingini,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

“Namun, selepas bermain begitu lama dalam jelajah, saya mampu memberi tumpuan terhadap perkara itu dan saya sudah banyak menyertai perlawanan. Jadi itulah yang saya cuba fokuskan sekarang.”

Tiga Grand Slam yang dimilikinya tahun lalu di Australia, Roland Garros dan Wimbledon menghampiri salah satu pencapaian Steffi dengan 22 kejuaraan dan berjaya mengatasi Chris Evert dan Martina Navratilova dalam tiga kejuaraan.

Melbourne Park membawa tuah kepadanya. Dia menjuarai Terbuka Australia pertama pada 2003 menewaskan kakaknya Venus pada perlawanan akhir dan menjulang gelaran keenam tahun lalu apabila menewaskan musuh ketatnya Maria Sharapova.

Serena berdepan undian sukar apabila diundi bersama Maria, pemain Russia, pilihan kelima kejohanan yang mungkin menantinya pada suku akhir.

Maria juga kurang perlawanan latihan selepas kecederaan lengan memaksanya menarik diri daripada Kejohanan Jemputan Brisbane namun mengakui semuanya baik.

“Ya, saya mungkin nampak berkarat, melakukan beberapa kesilapan namun saya sedia beraksi,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang memburu gelaran pertamanya di Melbourne Park sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:01 AM