MURTABAK atau piza mamak ada tarikan tersendiri di Al-Harraz House of Murtabak.
MURTABAK atau piza mamak ada tarikan tersendiri di Al-Harraz House of Murtabak.
TEBARAN roti dengan cara tersendiri memberikan kelainan kepada menu murtabak.
TEBARAN roti dengan cara tersendiri memberikan kelainan kepada menu murtabak.
MENU yang pelbagai menggamit pengunjung datang ke Al-Harraz House of Murtabak.
MENU yang pelbagai menggamit pengunjung datang ke Al-Harraz House of Murtabak.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Jika ingin merasai keenakan ‘piza mamak’, restoran di Al-Harraz House of Murtabak di Pusat Bandar Bertam Perdana, Seberang Perai, Pulau Pinang mengetengahkan sajian itu.

Keenakan murtabak unik atau digelar ‘piza mamak’ itu disebabkan ketebalan inti yang dicampur dengan ramuan rempah segar dalam pelbagai saiz.

Pengarah Urusan Al-Harraz House of Murtabak, Mohamad Syazwan Samsudin berkata, murtabak dijualnya berbeza daripada murtabak biasa kerana ia mempunyai kekuatan rempah yang dihasilkan menerusi resipi tradisi keluarganya sejak turun-temurun.

“Kami tidak menggunakan rempah yang dijual di pasaran, tetapi dihasilkan bapa saya, Samsudin Mohd Mydin, 61, bagi mengekalkan keaslian dan kepuasan kepada pelanggan.

“Bapa memang berpengalaman luas berkaitan rempah kerana pernah berniaga pelbagai makanan termasuk murtabak,” katanya.

Bapanya turut membantu menyediakan kuah murtabak dengan resipi asli dan bagi menampilkan kelainan murtabak di Al-Harraz House of Murtabak, mereka menambah keju jenis mozzarella untuk rasa istimewa.

“Saya mampu menjual 400 murtabak sehari dan dijual daripada harga RM7.90 hingga RM14.90 manakala daging rusa di antara RM13.90 hingga RM24 sekeping.

“Bagi saiz ʻsingleʼ, ia mung­kin memadai bagi seorang manakala ʻtripleʼ untuk dinikmati dua hingga empat orang,” katanya.

Selain murtabak, restoran itu turut menyediakan menu lain seperti nasi beriani ayam, daging kambing dan paha kambing.

Minuman istimewa paling diminati pelanggan ialah teh tarik ʻfloatʼ berharga RM4.50 segelas besar yang turut mengandungi ais krim.

Menu lain ialah mi kuah tulang, udang, bihun Singapore dan Penang char kuey teow.

Al-Harraz House of Murtabak dibuka setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 12 tengah malam dan ditutup Jumaat.

Bagi memberi keselesaan, pengunjung boleh menikmati persembahan pemuzik ‘busking’ atau pemuzik jalanan yang beraksi di restoran itu dua kali sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 12:26 PM