KEENAKAN kari kepala ikan membangkitkan selera pelanggan Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang.
KEENAKAN kari kepala ikan membangkitkan selera pelanggan Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang.
Rudy Syareme Sheriffudin


Kelazatan kari ikan atau ayam sentiasa menggamit selera disebabkan pengggunaan rempah ratus yang digunakan.

Itulah keistimewaan Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLCa) di Jalan Penang, Georgetown, sehingga menjadi ikon pelancongan di Pulau Pinang.

Pelanggan termasuk pelancong asing cukup meminati kari ikan dan ayam yang dihidangkan menggunakan resipi turun-temurun.

RNKLC yang ditubuhkan pada tahun 1950-an sudah diwarisi beberapa generasi, namun keenakan kari kepala ikan sentiasa menjadi sebutan.

Pengendali RNKLC Abdul Latiff Ali Thulkarnai, 55, berkata, kelazatan kari di restoran itu terletak pada resipi turun-temurun yang digunakan keluarganya bagi memastikan kelazatan kari ikan atau ayam memiliki cita rasa dan keistimewaan tersendiri.

Katanya, bagi menyediakan kari kepala ikan yang enak, pastinya perlu memilih ikan segar selain serbuk cili, rempah kari, serbuk kunyit, jintan putih, jintan manis, bawang besar, asam jawa, santan kelapa dan tidak ketinggalan daun ‘karupulai’ atau daun kari.

Katanya, cara memasak kari cukup mudah dan hanya mengambil masa antara 15 hingga 30 minit bergantung pada masakan, selain penggunaan halba campur dan hirisan bawang besar dipotong kecil.

“Tumisan bawang putih ditumbuk halus bagi membangkit aroma, selain rempah kari ikan dikacau lembut bersama air masak serta diadun dengan serbuk cili dan perahan asam jawa yang dimasak bersama.

“Tanpa menunggu lama, sedikit santan kelapa dimasukkan bagi membangkitkan kepekatan kuah sebelum dimasukkan ikan yang digaul perlahan-lahan dengan api sederhana. Selepas 10 minit, kari sudah siap untuk dihidangkan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdul Latif berkata, untuk menaikkan seri kari ikan, kacang bendi yang siap direbus akan digaul bersama kuah kari.

Katanya, bagi memastikan resipi turun temurun itu dikekalkan, RNKLC menjaga kelazatan kari ikan atau ayam supaya rasa dan aroma rempah ratus digunakan tidak hilang.

“Kari kami memiliki keistimewaan tersendiri dan tidak hairanlah bagi pengunjung ke Pulau Pinang, destinasi wajib mereka ialah mengunjungi RNKLC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 11:02 AM