ANGGOTA polis dan kakitangan hospital mengangkat mayat mangsa. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis dan kakitangan hospital mengangkat mayat mangsa. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin maut selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya bertembung dengan motosikal jenis sama di Kilometer 82 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Batu 5, di sini, 2 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa, Hidayatul Ikmal Zaini, 19, pelajar jurusan Diploma Elektrik dan Elektronik meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Taman Mutiara Batu 6, di sini selepas keluar minum bersama lapan rakannya di kedai makan di depan Hospital Dungun.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal keluar dari persimpangan lampu isyarat sebelum bertembung dengan motosikal mangsa yang menyebabkannya tercampak beberapa meter.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 12:00 PM