IBU Hairul, Habsah Desa meyarung cincin pada Hanis di majlis pertunangan. FOTO Shagrasyiid, Omaroza, Aslan, Azim Ahmad.
IBU Hairul, Habsah Desa meyarung cincin pada Hanis di majlis pertunangan. FOTO Shagrasyiid, Omaroza, Aslan, Azim Ahmad.
HANIS pada majlis pertunangan di Bukit Jelutong. FOTO Shagrasyiid, Omaroza, Aslan dan Azim Ahmad
HANIS pada majlis pertunangan di Bukit Jelutong. FOTO Shagrasyiid, Omaroza, Aslan dan Azim Ahmad
Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: Hos televisyen dan pelakon Hanis Zalikha mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan pelakon Hairul Azreen Idris pada 5 Jun depan.

Hanis atau Hanis Zalikha Zainal Rashid, 25, berkata, lokasi sebenar majlis berkenaan hanya akan ditetapkan dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah lewat petang semalam saya selamat bertunang dengan Hairul dalam majlis tertutup yang dihadiri oleh kaum keluarga di kediaman ibu bapa di Bukit Jelutong (Shah Alam).

"Hairul menghantar rombongan untuk mewakilkannya. Kami tetapkan 5 Jun depan untuk nikah tapi lokasi tak pasti lagi sama ada di masjid atau rumah ibu bapa di sini.

"Selesai satu fasa mengikut adat, sekarang teruja terus-menerus ke persiapan kahwin. Insya-Allah doakan semuanya berjalan seperti dirancang," katanya.

Majlis pertunangan Hanis dan Hairul, 27, berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga aktres itu di Bukit Jelutong, Shah Alam, dekat sini, petang semalam.

Majlis resepsi mereka pula akan diadakan pada 14 Jun di Hotel Majestic di sini.

Percintaan mereka mengejutkan khalayak umum pada awal Januari lalu apabila Hairul melakukan lamaran secara terbuka pada siaran langsung program akhir Gegar Vaganza, 3 Januari lalu.

Ekoran tindakan itu, Hanis dan Hairul berdepan kecaman umum dan diselar kerana segelintir pihak menganggap ia tidak bersesuaian dengan budaya Melayu. Ia juga dianggap bersifat kebaratan dan membelakangkan agama.

Pasangan yang mula berkenalan sejak 2004 itu dipercayai menjadi lebih serius dalam hubungan mereka, kira-kira setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 12:13 PM