Kuala Lumpur: Litar Losail, Qatar nyata memberi seribu satu pengalaman serta pengajaran berguna kepada pemandu rookie negara dalam kelas Moto2, Mohd Zaqhwan Zaidi pada aksi pertama Kejuaraan Motosikal Dunia, minggu lalu.

Meskipun litar itu pernah menyaksikan Zaqhwan dinobat juara Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi kelas SuperSports 600cc musim lalu, pelumba berusia 20 tahun itu berkata, jentera Moto2 ditunggangnya amat berbeza berbanding jentera digunakan di ARRC.

“Tidak banyak boleh saya katakan menerusi pengalaman pertama ini. Tapi saya sedar banyak yang perlu dipelajari.

“Saya rasa memerlukan lima atau enam pusingan lagi untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan jentera.

“Setiap jentera digunakan dalam saingan Moto2 hampir sama saja, tapi yang membezakan antara setiap pelumba adalah skil tunggangan mereka mengawal motosikal di atas litar.

“Inilah kekurangan saya ketika ini. Saya perlu benar-benar ‘kenal’ jentera saya,” katanya pada satu majlis santai bersama media semalam.

Zaqhwan yang beraksi bersama pasukan JPMoto Racing dan menggunakan jentera Suter berkata, dia akan cuba memperbaiki skil tunggangannya itu pada pusingan kedua di Austin, Amerika Syarikat dua minggu lagi.

Jelas Zaqhwan, dua pelumba negara yang turut beraksi di kelas Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman (Honda Team Asia) serta Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Raceline Malaysia) banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Mereka berdua lebih berpengalaman daripada saya dalam saingan ini. Nasihat mereka banyak membantu saya ketika beraksi di atas litar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:44 AM