Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Pelumba berbakat negara Mohd Zaqhwan Zaidi melangkah setapak lagi dalam kariernya apabila mengesahkan beralih arah ke saingan Moto2 Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan.

Pelumba berusia 19 tahun itu yang baru saja dinobat juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) akan beraksi bersama pasukan baru dari Malaysia yang berpangkalan di Switzerland.

Lebih menarik, pasukan disertai Zaqhwan diketuai Massimo Biagini iaitu bekas ketua pasukan juara dunia dua kali Casey Stoner.

Untuk rekod, Biagini sudah mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam saingan tertinggi itu.

“Oleh kerana ini tahun pertama di Moto2, saya akan cuba mengutip pengalaman sebanyak mungkin.

“Keputusan ini diambil selepas saya memenangi ARRC. Keluarga juga banyak membantu saya membuat keputusan ini. Pada usia 19 tahun, saya rasa inilah masa paling sesuai ke Moto2,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Zaqhwan berkata, untuk ketika ini, dia tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai pasukan barunya itu kerana difahamkan pengumuman rasmi hanya akan dilakukan pasukannya pada Januari.

Namun yang pasti, Zaqhwan akan menggunakan jentera Suter edisi terbaru untuk musim 2015.

Zaqhwan mencipta sejarah apabila muncul juara termuda kategori Supersports 600cc di Litar Antarabangsa Losail, Doha pertengahan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 4:53 AM