MANGSA ketika dibawa turun oleh anggota MOSAR ke Pondok Timpohon, Kundasang. FOTO ihsan bomba
MANGSA ketika dibawa turun oleh anggota MOSAR ke Pondok Timpohon, Kundasang. FOTO ihsan bomba
Norasikin Daineh


Ranau: Pelancong wanita warga Kanada terpaksa dibawa turun dari laluan Walk The Torq ke Pondok Timpohon dengan menggunakan pengusung selepas kaki kirinya terseliuh ketika melakukan aktiviti Via Ferrata di laluan itu di Gunung Kinabalu, pagi semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Nicole Catherine, 28, turun ke Pondok Timpohon sendiri selepas kakinya terseliuh.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan pada 10.30 pagi berhubung kejadian itu.

"Seramai 11 anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat (MOSAR) ke Kota Belud Trail dan membawa mangsa naik ke Ranau Trail menggunakan pengusung dengan teknik menarik mangsa dibantu oleh kakitangan Mountain Torq kerana laluan Kota Belud Trail yang licin dan ada limpahan air kerana hujan lebat ketika itu.

"Mangsa berjaya dibawa ke Laban Rata pada 3.45 petang dan mangsa terpaksa bermalam di Pendant Hut sebelum operasi diteruskan untuk membawanya turun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Affendy berkata, operasi diteruskan dan sebuah helikopter untuk mengambil mangsa tidak dapat mendarat di Helipad Laban Rata kerana hujan lebat sejak 2.30 pagi.

"Oleh itu, mangsa terpaksa diusung turun terus ke Timpohon menggunakan pengusung pada 11 pagi tadi dan selamat tiba di Pondok Timpohon pada jam 2.15 petang tadi sebelum dibawa ke Kota Kinabalu oleh ejen pelancongannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:09 PM