DOLLAH sedia terima pemain luar jika penuhi  kriteria.
DOLLAH sedia terima pemain luar jika penuhi kriteria.
Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh bersikap terbuka untuk menggunakan khidmat pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan walaupun pendekatan itu mungkin mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.

Pengendali berusia 51 tahun itu berkata, beliau tidak menghalang sebarang cadangan untuk mengambil pemain luar negara beraksi menyarung jersi kebangsaan asalkan dilakukan mengikut undang-undang.

“Saya terbuka, tapi kita kena tengok undang-undang. Jika undang-undang tidak membenarkannya kita tidak boleh ambil pemain (naturalisasi) itu. Tapi kalau ada ciri-ciri yang membolehkan pemain itu mendapat kerakyatan negara ini, kita akan usahakan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Dasar terbuka untuk membuka ruang kepada pemain luar negara mewakili Harimau Malaya dengan memberi taraf kerakyatan bukan sesuatu yang baru kerana pernah disuarakan sebelum ini.

Jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee ketika memegang tugas selaku pengendali sementara Harimau Malaya awal tahun lalu mengalu-alukan keinginan penjaring gol terbanyak Liga Super dari Brazil Paulo Rangel untuk dinaturalisasikan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 6:50 AM