Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya harus berwaspada bagi pertemuan dengan Timor Leste pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Dili esok selepas pasukan yang dianggap kerdil sebelum ini kini menjelma menjadi skuad ‘Brazil Asia’ kerana dibarisi ramai pemain naturalisasi.

Hampir separuh daripada tonggak skuad Timor Leste itu adalah kelahiran Brazil yang diberi kerakyatan dan kehadiran mereka terbukti memberi impak apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Palestin minggu lalu serta tewas tipis 0-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Kumpulan A Jun lalu.

Malah skuad kebangsaan juga dipaksa seri 1-1 dengan Timor Leste pada perlawanan pertama kumpulan di Shah Alam sebelum ini ketika di bawah kendalian Dollah Salleh.

Ada pihak meragui kesahihan begitu ramai pemain dari Brazil yang direkrut untuk mewakili Timor Leste dan bagi jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee (gambar), kehadiran mereka memberikan ancaman kepada pasukan lawan.

“Mereka memiliki pemain naturalisasi yang bagus dan ada di antara mereka bermain dalam liga utama di Asia. Kehadiran pemain naturalisasi ini memberikan kekuatan kepada Timor Leste, tanpa pemain ini mereka tidak begitu kuat jadi kami perlu mengawasi pergerakan mereka,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:27 AM