AKSI Federer ketika menentang  Berrettini. - FOTO AFP
AKSI Federer ketika menentang Berrettini. - FOTO AFP
AFP

IMPIAN Roger Federer merangkul kejuaraan ketujuh Pusingan Akhir ATP kembali bersinar selepas menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini 7-6 (7/2), 6-3 di Arena London O2, sebentar tadi.

Pilihan ketiga dari Switzerland itu meletakkan dirinya dalam situasi sukar selepas tewas straight set kepada Dominic Thiem dalam aksi pembukaan Kumpulan Bjorn Borg, Ahad lalu.

Juara enam kali itu tidak berada pada prestasi terbaik namun tetap sukar buat Berrettini yang hanya menang tiga ‘game’ ketika menentang Novak Djokovic dalam aksi pembukaan.

Kedua-dua pemain mempamerkan kekuatan servis pada set pertama dengan Federer bergelut meraih mata menentang pilihan kelapan.

Bintang veteran Switzerland itu akhirnya temui rentak pada ‘game’ ke-12, menang mata ‘break’ pertama tetapi Berrettini berjaya mengheret perlawanan ke tie-break.

Federer meningkat tempo permainan dan dibantu kesalahan berganda Berrettini memberikan kemenangan 7-2 kepada pemain veteran itu.

Set kedua jelas memihak Federer yang menamatkan permainan dengan ace.

Semalam, pilihan utama, Rafael Nadal tewas aksi pembukaan dalam Kumpulan Andre Agassi kepada juara bertahan, Alexander Zverev manakala Stefanos Tsitsipas mengatasi Daniil Medvedev.

Dua pemain teratas dalam setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 12:31 AM