NADAL (kanan) bersama Federer tiada masalah atasi pasangan Querrey dan  Sock- Foto EPA
NADAL (kanan) bersama Federer tiada masalah atasi pasangan Querrey dan Sock- Foto EPA
AFP

PRAGUE: Rafael Nadal dan Roger Federer membantu pasukan Eropah memerlukan dua kemenangan saja lagi untuk menjulang Piala Laver apabila mereka menang perlawanan perseorangan dan aksi sulung beregu bersama di Prague, malam tadi.

Dua pemain ranking teratas dunia itu membantu Eropah diketuai Bjorn Borg mendahului 9-3 ke atas pasukan Dunia diketuai John McEnroe selepas dua hari pertandingan.

Selepas Nadal dan Federer menang aksi perseorangan mereka, semua mata tertumpu ke Arena O2 di Prague yang dipenuhi penonton apabila dua pemain legenda itu bermain di gelanggang sama buat kali pertama dalam karier mereka.

Mereka memulakan aksi beregu menentang Sam Querrey dan Jack Sock dengan penuh bergaya apabila meraih ‘break’ untuk menang set pertama 6-4.

Mereka jelas seronok dengan pengalaman itu dengan Federer mentertawakan satu pukulan melambung ke udara.

Bagaimanapun, mereka kemudian lebih serius pada set kedua apabila kedua-duanya dipatahkan servis masing-masing, membantu beregu Amerika Syarikat itu menyamakan kedudukan dengan kemenangan 6-1.

Dua pemain terbaik dunia itu, yang mengumpul 35 gelaran Grand Slam antara mereka, kembali menemui sentuhan tepat pada masanya apabila mereka mengatasi lawan 10/5 dalam super tie-break yang menentukan keputusan perlawanan itu.

Pada perlawanan terdahulu semalam, Federer, pemenang Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini dan pemain nombor dua dunia, mengalahkan Querrey 6-4, 6-2 selepas menang satu ‘break’ pada set pertama dan dua pada set kedua.

Pemain nombor satu dunia Nadal, yang menang Terbuka Perancis dan AS, kemudian mengatasi pemain ranking ke-21 Sock 6-3, 3-6, 11/9.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 1:25 PM