RAONIC raih kemenangan sulung ke atas Nadal  dalam enam pertemuan.
RAONIC raih kemenangan sulung ke atas Nadal dalam enam pertemuan.
Reuters

Indian Wells, AS: Milos Raonic bangkit daripada ketinggalan satu set dan menyelamatkan tiga mata penamat untuk mengecewakan Rafael Nadal 4-6, 7-6 (12/10), 7-5 pada suku akhir Terbuka BNP Paribas, semalam.

Kemenangan pertama pemain Kanada berusia 24 tahun itu ke atas Nadal selepas enam pertemuan membolehkannya mara ke separuh akhir berdepan Roger Federer yang melepasi saingan suku akhir dengan kemenangan mutlak 6-4, 6-0 ke atas pemain Republik Czech, Tomas Berdych.

Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic akan berdepan pilihan keempat dari Scotland, Andy Murray pada satu lagi pertembungan separuh akhir, mengulangi final Terbuka Australia yang dimenangi pemain Serbia itu dalam empat set.

“Saya berasa begitu hebat,” kata Raonic, pilihan keenam kejohanan yang membenam 19 aces sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh kurang tiga jam.

“Perlawanan ini ada turun naiknya, apa yang saya mahu adalah terus bersaing dan berharap diberikan jalan. Saya bernasib baik beberapa kali dan ia menjadi.”

Federer yang memburu gelaran kelima dalam acara ATP Masters 1000, mematahkan servis Berdych sekali dalam set pertama dan tiga kali dan set kedua untuk mara dalam tempoh hanya 68 minit di Indian Wells Tennis Garden.

“Saya berjaya memberi tekanan terhadap Tomas dari garisan belakang,” kata pemain nombor dua dari Switzerland itu yang memperbaiki rekod karier ke atas pemain Republik Czech itu kepada 13-6.

“Saya tidak hanya memukul bola dengan baik tapi juga dengan cara yang betul. Saya mempunyai kelebihan dan servisnya tidak menjadi hari ini, saya berjaya mengawal perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:44 AM