Petaling Jaya: Ekonomi Malaysia masih stabil dan kukuh meskipun nilai hutang negara mencecah 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, ini kerana ekonomi sesebuah negara diukur berdasarkan pelbagai faktor, bukan jumlah hutang semata-mata.

“Kerajaan melihat beberapa petunjuk lain seperti kadar inflasi pada paras 3.2 peratus, kadar pengangguran dan lain-lain yang masih pada tahap rendah.

“Paras rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia setakat 27 Februari 2015 sebanyak RM386 bilion pula masih tinggi dan positif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Pengayaan Bahasa Inggeris Yayasan GAB, di sini semalam.

Selain itu, katanya, tiga agensi penarafan antarabangsa turut memberi penarafan positif kepada ekonomi Malaysia tahun ini.

Sementara itu, mengulas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Chua berkata kerajaan kini dalam fasa menyelesaikan beberapa aduan pihak peniaga.

“Kementerian Kewangan akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Kastam Diraja Malaysia pada minggu ini bagi membincangkan kadar GST dalam kalangan doktor pakar,” kata Chua.

Katanya, doktor pakar yang bekerja secara residen dan menerima gaji tetap daripada hospital atau pusat perubatan tidak perlu mendaftar GST dan tidak boleh mengenakan GST kepada pesakit.

“Pakar persendirian pula yang kita panggil sebagai ‘visiting doctor’ (doktor pelawat pakar perunding), dan memperoleh pendapatan lebih RM500,000 saja yang perlu mendaftar GST dan perkhidmatan mereka tertakluk kepada peraturan GST,” katanya.

Selain itu, Chua berkata kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan penerbit buku yang keliru dengan kadar sifar GST untuk buku teks, buku rujukan, buku agama dan buku kanak-kanak.

Mereka, katanya, menghadapi masalah untuk mengenal pasti buku yang dikenakan GST dan sifar GST.

Beliau berkata kementerian juga akan berjumpa dengan pengusaha stesen minyak berhubung masalah mereka dan berharap kesemua isu terbabit dapat diselesaikan sebelum penguatkuasaaan cukai pada 1 April ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:18 AM