Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memindah naik soalan yang kerap ditanya dengan jawapan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di laman webnya untuk membantu peserta industri lebih bersedia menjelang tarikh pelaksanaan cukai itu pada 1 April ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, garis panduan GST membabitkan semua sektor serta keputusan terkini yang diambil juga boleh didapati di laman web berkenaan.

“Banyak penjelasan diperlukan selepas menemui persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Hartanah Malaysia 2015, kelmarin.

Beliau berkata, isu berkaitan jualan hartanah komersial dan kekeliruan mengenai nilai perolehan tahunan GST akan turut dijelaskan dengan terperinci di laman web.

Ditanya mengenai status perkembangan GST, cukai dengan kadar enam peratus yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada sebanyak 12 peratus, beliau berkata, kerajaan masih mengadakan pertemuan dengan beberapa industri.

Mengenai kompaun RM15,000 dikenakan ke atas syarikat yang enggan mendaftar GST menjelang 1 Mac lalu, katanya, kementerian tidak mempunyai statistik berhubung perkara itu lagi berikutan Jabatan Kastam hanya mula mengenakan penalti lima hari lalu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:19 AM