GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahanum Abdul Aziz; Lidiana Rosli dan Nabil Basaruddin

BANK Negara Malaysia menjangkakan harga barang dan perkhidmatan akan turun susulan penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, pengurangan kadar GST daripada enam peratus kepada kadar sifar itu akan memanfaatkan pengguna.

Justeru, beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan pengguna mendapat manfaat daripada GST pada kadar sifar itu.

“Kemungkinan besar ia (GST kadar sifar) tidak akan memberi impak ke atas inflasi. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk kami menilai (kadar inflasi) ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2018, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai kesan perubahan dasar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Muhammad berkata, bank pusat itu akan melihat cadangan dan inisiatif daripada Majlis Penasihat Kerajaan untuk menilai sama ada perlu mengubah unjuran KDNK atau sebaliknya.

Beliau berkata, perubahan unjuran akan dibuat jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Jika terdapat perubahan kepada unjuran KDNK, kami bersama Kementerian Kewangan akan mengumumkannya,” katanya.

Pada Mac lalu, Bank Negara menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5-6.0 peratus daripada 5.0-5.5 peratus sebelumnya.

Ia susulan pengembangan berterusan permintaan dalam negara dan sektor ekonomi utama serta pengukuhan eksport yang mendorong lebihan akaun semasa yang mapan. Selain itu, kadar inflasi keseluruhan juga dijangka menjadi sederhana pada tahun ini.

Pada 2017, ekonomi negara ini mencatat kadar peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) luar jangkaan iaitu pada paras 5.9 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:50 PM